Lapor Polis Jika Ada Pihak Halang Keluar Mengundi – Ketua Polis Johor

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Orang ramai diminta membuat laporan polis sekiranya terdapat cubaan daripada mana-mana pihak untuk menghalang mereka keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan termasuk melihat jumlah kehadiran orang ramai semasa hari mengundi.

“Beritahu polis (sekiranya ada pihak menghalang) dan kita akan pastikan bahawa perjalanan (mengundi) dipantau.

“Kita pantau daripada segi jumlah kehadiran, apabila sudah sampai tengah hari, tengok kenapa orang tidak hadir, atas apa sebab kita akan semak, sama ada terdapat halangan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal PRN Johor di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya terdapat individu yang dihalang oleh mana-mana pihak untuk keluar mengundi.
Kamarul Zaman berkata, orang ramai juga diminta memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat halangan lain seperti kawasan mereka dilanda banjir kilat.

“Sekarang ini (apabila) petang selalu hujan dan dikhuatiri (boleh berlaku) banjir kilat. Jadi kita perlu kerjasama daripada masyarakat untuk maklum kepada kita, sekiranya mereka terhalang untuk ke pusat mengundi (sila) beritahu kita segera,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 11,500 anggota dan pegawai polis serta pasangan di negeri ini terlibat dengan pengundian awal PRN Johor di 83 saluran pada hari ini, dengan 1,500 daripadanya mengundi di Dewan Dato’ Onn.

Beliau berkata proses pengundian berjalan agak perlahan awal pagi tadi berikutan hujan, namun berjalan lancar dua jam kemudian selepas cuaca kembali cerah.

“Kita tidak dapat pastikan jumlah sebenar (keluar mengundi ketika ini) tetapi kita akan kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat