Mahkamah Benarkan TNB Ketepi Taksiran Cukai LHDN Berjumlah RM1.8 bilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengenepikan taksiran cukai berjumlah RM1.8 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2018.

Hakim Noorin Badaruddin dalam penghakimannya bersetuju bahawa jumlah berkenaan (RM 1.8 billion) dianggap sebagai elaun pelaburan semula (RA).

Peguam TNB S Saravana Kumar yang mengesahkan perkara itu, berkata pertikaian timbul apabila LHDN tidak membenarkan tuntutan elaun pelaburan semula TNB di bawah Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA) atas alasan bahawa pengagihan dan penjanaan elektrik TNB bukan termasuk dalam sektor pengilangan elektrik, sebaliknya LHDN berhujah bahawa TNB adalah penyedia perkhidmatan.

“Hakim yang tidak bersetuju dengan hujah LHDN, berpendapat bahawa TNB yang terlibat dalam perniagaan berkaitan ‘penghasilan’ tenaga elektrik atau penjanaan elektrik, adalah aktiviti perkilangan.

“Hakim berpandangan bahawa transformasi menjadi isu, yang menjadikan tenaga elektrik sebagai bentuk yang boleh digunakan oleh pelanggan, transformasi ini mesti dianggap sebagai sebahagian daripada pembuatan dan pengeluaran elektrik,” katanya.

“Mahkamah juga mengulas bahawa elektrik tidak dihalang menjadi sebagai aktiviti pembuatan di bawah Jadual 7A ITA dan juga dalam Warta yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan. Mahkamah seterusnya memutuskan bahawa tafsiran dalaman LHDN seperti yang terkandung dalam Garis Panduan dan Ketetapan Awamnya tidak mengikat pembayar cukai,” tambahnya.

Beliau berkata, keputusan hari ini boleh dianggap sebagai keputusan yang amat penting kerana ia juga mempunyai kesan yang memihak kepada rayuan cukai lain dikemukakan TNB.

“Difahamkan perkara ini adalah berkaitan dengan RA di tahun-tahun awal taksiran 2003 hingga 2007 dan 2009 hingga 2017 yang berjumlah RM5.8 bilion tambahan cukai dan bayaran balik,” katanya.

TNB turut diwakili peguam Nur Amira Ahmad Azhar, manakala LHDN diwakili timbalan peguam caranya Hazlina Hussain.

Pada 21 Julai 2020, TNB menfailkan permohonan semakan kehakiman yang antara lain bagi mengenepikan keputusan responden yang bertarikh 13 Julai 2020. Pada dasarnya responden tidak membenarkan tuntutan elaun pelaburan semula pemohon berjumlah RM1,812,506,384.64.

Syarikat itu juga memohon pengisytiharan bahawa ia berhak menuntut elaun pelaburan semula di bawah Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pemohon (TNB), yang menjalankan perniagaan berkaitan elektrik menuntut elaun pelaburan semula bagi tahun taksiran 2018 dalam penyata cukainya, bagaimanapun pada 2 Jan 2020, responden mengeluarkan surat meminta akaun pemohon yang telah diaudit, pengiraan cukai dan pengiraan tuntutan elaun modal.

TNB berkata, pada 15 Jan 2020, syarikat itu menyediakan semua dokumen yang diminta responden dalam surat mereka bertarikh 2 Jan, tahun sama.

TNB seterusnya berkata, pada 3 Julai 2020, pihaknya menerima surat responden yang memaklumkan TNB bahawa tuntutan elaun pelaburan semula bagi tahun taksiran 2018 tidak dibenarkan.

“Pada 13 Julai 2020, responden telah mengeluarkan notis taksiran tambahan bagi cukai tambahan berjumlah RM1,812,506,384.64,” kata TNB dalam permohonannya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
2,269FollowersFollow
27,593FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat