KUALA LUMPUR – Pemerhati politik Azizi Safar menjangkakan jika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sudah berpindah ke tangan Pas maka, logiknya jawatan utama dan strategik lain seperti Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan juga akan dikuasai oleh Pas.
Tambahan pula katanya, pelantikan pegawai-pegawai PN adalah bidang kuasa prerogatif Pengerusi PN bahkan tidak perlu kelulusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dan ujar beliau di sinilah paradoks itu menjadi jelas.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan negeri-negeri yang lalu, di Kelantan dan Terengganu semua calon Perikatan Nasional, termasuk calon-calon Bersatu, bertanding menggunakan logo bulan Pas, dan bukannya logo PN.
“Alasannya, logo bulan Pas lebih dikenali rakyat di dua negeri itu. Ada juga yang mengatakan Pas bimbang sokongan akan terjejas jika menggunakan logo PN.
Namun begitu, mutakhir ini Pas dilihat begitu bersungguh-sungguh menuntut jawatan Pengerusi PN, jelas mahu menerajui gabungan itu sepenuhnya, sehingga terkeluar ungkapan sinis, “sila berambus.”
“Jika logo PN dianggap tidak cukup kuat untuk dipertahankan di medan pilihan raya, mengapa pula jawatan tertinggi PN begitu diidamkan?
“Maka timbul persoalan besar yang wajar dijawab secara jujur iaitu selepas Pas menjadi Pengerusi PN nanti, adakah calon-calon Pas juga akan bertanding di bawah logo PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu?
“Atau logo PN hanya dianggap penting di negeri-negeri di mana Pas kurang dominan, tetapi diketepikan apabila Pas berada dalam kedudukan dominan dan selesa berkuasa? Di sinilah paradoksnya: Logo PN diketepikan di medan pilihan raya, tetapi kuasa PN pula diperebutkan,” ujar Azizi.
Menurut beliau lagi, sebelum ini, PN lebih sinonim dengan Bersatu kerana kepimpinan tertingginya datang daripada parti itu.
“Dalam politik, siapa pegang kuasa, dialah yang membentuk jenama. Maka tidak mustahil, selepas Pas mengambil alih kepimpinan utama PN, PN pula akan semakin sinonim dengan Pas.
“Jika PN benar-benar mahu dilihat sebagai satu gabungan politik peringkat nasional yang kukuh dan setara, jenamanya mesti konsisten. Keberanian mempertahankan logo sendiri mesti bermula daripada parti paling kuat dalam gabungan.
“Jika tidak, PN akan terus dilihat bukan sebagai gabungan yang setara, tetapi sekadar kenderaan politik yang dikawal satu parti sebagai pemandu mutlak, sementara parti-parti lain hanya menjadi penumpang,” kata beliau.



