Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara akan dibuka kepada orang ramai – Arthur Joseph

KUALA LUMPUR — Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara akan dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat selepas pasangan Giant Panda baharu, Chen Xing dan Xiao Yue, selesai menjalani tempoh kuarantin.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, persetujuan untuk membuka PKGP kepada pengunjung diperoleh selepas pihak Republik Rakyat China berpuas hati dengan keadaan kesihatan serta tahap penyesuaian kedua-dua panda tersebut.

Menurut beliau, lawatan kerja yang diadakan ke PKGP mendapati fasiliti pusat konservasi itu telah dinaik taraf secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan Giant Panda serta keselesaan pengunjung. Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk penaiktarafan eksibit utama, reka bentuk dalaman, landskap dan penggantian sistem chiller, hasil peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Beliau turut dimaklumkan oleh pakar veterinar dari China dan Zoo Negara bahawa Chen Xing dan Xiao Yue berada dalam keadaan kesihatan yang baik serta menunjukkan tingkah laku normal dan aktif, sekali gus mencerminkan proses penyesuaian yang berjalan lancar.

Pasangan Giant Panda berkenaan merupakan simbol hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China, khususnya dalam kerjasama pemuliharaan dan penyelidikan spesies terancam. Sehingga kini, China telah menjalinkan kerjasama antarabangsa berkaitan Giant Panda dengan 20 negara termasuk Malaysia.

Kerjasama ini dimeterai sempena Lawatan Negara Presiden Republik Rakyat China ke Malaysia pada April 2025 melalui perjanjian antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dan China Wildlife Conservation Association, yang membolehkan Malaysia menerima pasangan Giant Panda baharu bagi tempoh 10 tahun bermula 2025 hingga 2035.

Lawatan berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh; Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim; Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi; Ketua Pengarah PERHILITAN, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim serta wakil Malaysian Zoological Society selaku pengurus Zoo Negara.

Arthur berkata, komitmen Kerajaan MADANI melalui NRES selari dengan prinsip kemampanan di bawah kerangka Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkukuh usaha konservasi spesies terancam melalui pendekatan diplomasi antarabangsa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat