KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan menyanggah dakwaan pembangkang kononnya titah addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak bagi menjalani baki hukuman penjara di rumahnya disorok.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, beliau sendiri selaku Menteri Komunikasi tidak pernah menerima, melihat ataupun dimaklumkan tentang titah addendum berkenaan.
“Dokumen yang dimaksudkan itu (titah addendum) sejujurnya tidak disorok.
“Saya sendiri selaku Menteri Komunikasi tidak ada menerima, melihat ataupun dimaklumkan tentang dokumen tersebut.
“… dan saya percaya perkara ini oleh sebab ia melibatkan Lembaga Pengampunan dan kita juga ambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini diremit semula ke Mahkamah Tinggi maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat daripada Peguam Negara tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut,” jelas Fahmi ketika sidang media pasca Kabinet pada Rabu.
Pada 6 Januari lalu, sepucuk surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan bahawa wujudnya titah addendum bagi membenarkan Najib menjalani hukuman penjara dalam tahanan rumah.
Surat itu menjelaskan bahawa Al-Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest) melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Susulan kitu, Fahmi ketika ditanya mengapa kerajaan mengambil masa yang lama untuk mengesahkan kewujudan titah addendum itu berkata, kerajaan bertindak berpandukan proses yang berjalan di mahkamah.
“Dalam hal ini kita berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah, dan seperti yang Perdana Menteri ada jawab di Parlimen sebelum ini sewaktu sesi PMQT kita tertakluk kepada prinsip subjudis.
“Maka kita akur dan patuh dengan prinsip itu dan proses di mahkmaah itu diteruskan,” jelas Fahmi.
Pada 10 September 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu kewujudan titah addendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah tidak wajar diulas secara terbuka di Dewan Rakyat atas alasan subjudis.