Angkat bakat pelakon veteran

- Advertisement -

Peminat drama tanah air pastinya tahu kecenderungan pengarah terkenal, Rashid Sibir yang suka menampilkan pelakon veteran dan cerita kemasyarakatan dalam setiap karyanya.

Terbaharu, Rashid kini tampil dengan karya istimewa, Tilam Perca yang menemui penonton menerusi saluran Astro First sejak 3 Disember lalu.

Menurutnya, dia sememangnya suka menghasilkan drama keluarga, kisah orang kampung berkonsep sedih dan cerita berkaitan anak-anak yang tidak tahu menghargai kasih seorang ibu bapa.

“Bila saya tengok Astro First tidak ada filem genre ini, saya pun mencuba untuk mengarah Tilam Perca sebagai satu sumbangan saya pada industri dan saya menukar gandingan pelakon dan juga plot penceritaannya.

“Astro First banyak menayangkan filem-filem genre moden. Itu sebabnya, Tilam Perca memang lain dari yang lain. Saya nak mencuba pasaran genre zaman kampung di Astro First pula.

“Alhamdulillah, saya juga tidak berdepan banyak cabaran semasa mengarah kerana semua pelakon yang membintangi Tilam Perca pernah bekerja dengan saya. Cuma, saya kena fikir bagaimana nak jadikan mereka serasi sepanjang bekerjasama,” katanya.

Barisan pelakon yang terbabit dalam Tilam Perca ialah Norlia Ghani sebagai nenek, Amerul Affendi (Akob), Nasir Bilal Khan (Atan), Jalaludin Hassan (Man), Datuk Rahim Razali (tok ketua), Didie Alias (Salbiah) dan Farahdhiya (Kiah).

Rashid berkata, pelbagai mesej ditampilkan dalam Tilam Perca seperti kasih sayang dan memberi contoh yang baik bahawa seorang penagih dadah boleh berhenti menagih jika ada pertolongan.

“Ahli keluarga terdekat jangan hanya biarkan saja, tapi mesti dekat dengan mereka (bekas penagih) dan ada usaha untuk membantu. InsyaAllah, mereka akan berhenti menagih

“Tapi masyarakat kita lebih banyak yang membiarkan saja penagih dadah hidup dalam dunianya dan tiada niat nak tolong.

“Ketamakan anak-anak pada harta arwah ibu juga membawa padah di mana anak-anak menjadi lumpuh kerana balasan Allah terhadap layanan mereka pada orang tua,” katanya.

Sehubungan itu, Rashid menyeru agar penonton dapat menyokong Tilam Perca kerana ia sesuai sebagai tontonan seisi keluarga menerusi pawagam dari rumah.

“Pelakon-pelakon pun memberikan mutu lakonan yang tinggi dan insyaAllah penonton akan dapat sesuatu yang baik untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan.

“Sayangi keluarga anda. Jangan menyesal apabila mereka dah tiada. Saya harap penonton dapat merasakan kasih sayang yang cuba saya ketengahkan dan dapat memberikan rasa pada anak-anak supaya sayangkan ibu bapa,” katanya.

Hubungan kasih sayang ibu bapa dan anak-anak hingga ke akhir hayat. Banyak pengorbanan yang sanggup dilakukan ibu bapa untuk anak-anak dan ia wajar dikenang, malah tidak rugi berbakti kepada orang tua.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat