Manifesto GPS Fokus Imbangi Pembangunan Bandar, Luar Bandar – Abang Johari

- Advertisement -

GEDONG – Mengimbangi pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar bakal menjadi fokus dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dijadual diumumkan pada 8 Disember (esok).

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan untuk merealisasikan perkara itu telah dibuat oleh GPS termasuk memperuntukan 70 peratus daripada Bajet Sarawak bagi tujuan pembangunan.

Daripada jumlah peruntukan pembangunan, 80 peratus, kata beliau, diberikan kepada kawasan luar bandar yang memerlukan penyediaan infrastruktur asas.

“Kosnya (pembangunan luar bandar) begitu tinggi kerana keluasan keadaan Sarawak. Jadi, dalam perancangan, kita membangunkan jalan pesisir di mana ia akan membuka kawasan-kawasan baharu.

“(Jalan pesisir ini) juga kita akan sambung dengan jalan-jalan alternatif umpamanya di Gedong, kita akan bangunkan jalan yang menuju ke Kota Samarahan dan juga melepasi Simunjan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.

Abang Johari, yang juga Ketua Menteri Sarawak berpindah dari Dewan Undangan Satok (DUN) Satok yang dipertahankan selama 40 tahun berturut-turut ke DUN Gedong yang merupakan kerusi luar bandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Beliau akan berdepan saingan daripada calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango; Parti Amanah Negara (Amanah), Kamal Bujang dan Mohamad Sofian Fariz Sharbin daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Kerusi DUN Gedong dimenangi oleh Datuk Mohd Naroden Majais pada PRN11.

Mohd Naroden yang juga bekas Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan negeri memberi laluan kepada Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu bagi membolehkan pembangunan di kawasan luar bandar dipercepatkan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan di bawah pimpinan GPS sedang membina jalan baharu yang menghubungkan Gedong ke Kota Samarahan.

“Bermakna, kawasan ini lebih terbuka dan kita akan dapat membangunkan banyak soioekonomi di kawasan-kawasan tersebut,” ujar beliau.

Jalan Lubok Terenggas ke Gedong sepanjang 6.85 kilometer yang dijangka siap pada Januari 2024 akan memendekkan masa perjalanan dari Kota Samarahan ke Gedong kepada kira-kira 50 minit, berbanding 1 jam 30 minit menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo sekarang.

DUN Gedong mempunyai sejumlah 7,208 pengundi terdiri daripada 3,508 lelaki serta 3,700 wanita. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat