Lebih RM1 juta pinjam dari AIM untuk tiga jenis perniagaan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Bermodalkan RM2,000 yang dipinjam daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 13 tahun lalu untuk membuka perniagaan kecil-kecilan, sepasang suami isteri dari Kampung Jelor kini berjaya mengusahakan tiga perniagaan yang berbeza.

Normala Mohamad, 38, dan suaminya, Daus Awang, 60, kini mengusahakan perniagaan menjual alat-alat ganti kenderaan terpakai dan baru, kedai runcit serta kedai makan.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, segalanya bermula dengan suaminya yang bekerja sebagai penarik kereta sebelum mereka terbabit dalam penjualan kereta terpakai.

“Ketika berada dalam bidang penjualan kereta terpakai, ramai orang membeli secara hutang menyebabkan ramai juga tidak membayarnya sehinggalah saya berjinak dalam bidang kereta potong.

“Ketika itu untuk dapatkan modal dengan meminta orang sekeliling agak sukar sehinggalah saya meminta bantuan dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM2,000.

“Bermula dengan modal itulah saya mengusakan perniagaan kereta potong secara kecil-kecilan sehinggalah berjaya sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui.

Normala berkata, untuk mengembangkan lagi perniagaan dia juga membuka kedai runcit sejak lima tahun lalu sebelum membuka kedai makan berdekatan rumah.

“Sehingga kini sudah 42 kali saya membuat pinjaman dengan AIM membabitkan nilai lebih RM1 juta. Saya bersyukur kerana tanpa AIM, tiadalah kami seperti hari ini.

“AIM banyak memudahkan saya kerana bila sebut duit, siapa yang mahu meminjam wang kepada kita. Dengan orang lain nak dapatkan RM50 pun susah, alhamdulillah dengan AIM hanya ambil masa dua minggu untuk mendapatkan pinjaman,” katanya.

Menceritakan pahit getir mengusahakan perniagaan kereta potong, Normala berkata setiap perniagaan semestinya ada cabarannya dan dia juga begitu.

“Untuk bidang kereta potong, selain membabitkan modal yang besar, semestinya persaingan menjadi cabaran utama kerana bukan saya sahaja yang membuka premis seperti itu.

“Justeru, kita perlu berusaha yang terbaik selain tawakkal supaya kami sentiasa ada rezeki dalam bidang ini. Sehingga kini saya memiliki lima orang pekerja di bengkel kereta potong yang diberi nama Djmas Resources.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan berterima kasih kepada AIM. Hasil perniagaan ini juga saya dapat membeli tanah serta membina rumah,” katanya.

Katanya, pelanggan yang datang ke premisnya juga dari seluruh Kelantan dan alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan.

 

 

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat