Hari Habitat Sedunia: Rapatkan Jurang, Tiada Sesiapa Mahupun Tempat Yang Ketinggalan

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 (SHHS 2022) bertempat di Dewan Kristal, KPKT yang dirasmikan Ketua Setiausahanya, Datuk M Noor Azman bin Taib

Sambutan ini merupakan acara kemuncak tahunan sempena Sambutan Hari Habitat Sedunia yang diraikan pada 3 Oktober 2022 di seluruh dunia.

“KPKT sebagai National Focal Point bertanggungjawab menyelaras aktiviti UN-Habitat di Malaysia sejak tahun 1985.

“Penganjuran SHHS 2022 ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai petempatan manusia dan hak setiap individu untuk memiliki tempat tinggal yang selamat, kondusif dan berdaya huni,” kata kementerian itu menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut KPKT, sambutan tahun ini bertemakan ‘Mind the Gap. Leave No One and Place Behind’ atau ‘Rapatkan Jurang. Tiada Sesiapa mahupun Tempat yang Ketinggalan’, yang secara umumnya menggesa agar penggerak pembangunan bandar terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi merapatkan jurang antara golongan berpendapatan tinggi dan mereka yang kurang bernasib baik kesan daripada krisis 3C yang melanda dunia iaitu COVID-19, Climate and Conflict.

“Pembangunan perbandaran perlu menawarkan peluang sama rata kepada semua penduduk bagi mendapat akses kepada perkhidmatan asas, tenaga, pengangkutan, perumahan dan kawasan lapang awam.

“Namun, ia juga hendaklah mengurangkan penggunaan sumber serta kesan terhadap alam sekitar.

“Berdasarkan Laporan Bandar Dunia oleh UN-Habitat, pada tahun 2020 dianggarkan antara 119 juta hingga 124 juta masyarakat dunia terjejas akibat krisis 3C ini. Manakala
pada tahun 2021, berlaku peningkatan di antara 143 juta hingga 163 juta golongan terkesan.

“Statistik ini dijangka akan terus meningkat dan memberi impak negatif dari sudut sosio-ekonomi, kesihatan mental dan fizikal sekiranya tiada intervensi dilaksanakan bagi menangani situasi ini. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menjadikan bandar dan kawasan tempat tinggal di Malaysia bersifat inklusif, berdaya tahan, selamat dan lestari,” katanya.

Ujar kenyataan itu lagi, pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan oleh KPKT sebagai pengisian sempena Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Malaysia 2022 iaitu Dialog Hari Habitat di Malaysia Urban Forum 2022 (MUF 2022), Jalinan Mesra PR1MA bersama Warga Emas dan OKU di Persatuan Orang Buta Malaysia, Brickfields.

Selain itu, turut diadakan Anugerah National Scroll of Honour For Human Settlements 2022, Pertandingan Photojournalism, Pertandingan Video Pendek peringkat Institusi Pengajian Tinggi, Pertandingan Debat ala parlimen Peringkat Sekolah Menengah, Pertandingan Bercerita Peringkat Sekolah Rendah Tahap 2 (Secara Rakaman Video), Aktiviti Beriadah Sambil Plogging di Taman Putra Perdana, Program Pemerkasaan Pendigitalan Perkhidmatan PBT Kepada Komuniti dan Program Jalinan Kasih SPNB bersama Anak Yatim.

“KPKT terus komited meningkatkan kesedaran secara berterusan tentang kepentingan dalam menangani perubahan iklim, terutamanya melalui pelaksanaan inisiatif rendah karbon atau pengurangan pelepasan GHG bagi memastikan bumi serta keindahan alam semula jadi kita akan kekal dinikmati oleh generasi seterusnya. Hasrat ini selaras dengan fokus KPKT iaitu mengangkat agenda “Liveable Malaysia” atau Malaysia Berdaya Huni dalam menjayakan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan – Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, TPr. Ts. Norliza binti Hashim, Ketua Eksekutif URBANICE Malaysia, Ketua-Ketua Jabatan, Bahagian dan Agensi di bawah KPKT serta wakil-wakil PBT.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat