KOTA BELUD, – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyeru rakyat Sabah agar menggunakan peluang pilihan raya negeri akan datang untuk memilih parti yang mampu membawa kestabilan dan hala tuju jelas kepada negeri itu, bukannya parti yang mencetuskan kekeliruan politik.
Menurut beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah memberi isyarat bahawa mandat kini telah dikembalikan kepada rakyat bagi memilih kerajaan baharu yang diyakini dan stabil.
“Pentas persaingan kini terbuka luas. Semua parti akan tampil dengan calon serta tawaran masing-masing kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salleh menegaskan, rakyat perlu membuat penilaian berdasarkan prestasi lalu dan kewibawaan calon, bukan semata-mata janji yang ditaburkan menjelang pilihan raya.
Beliau turut menjangka perdebatan mengenai parti tempatan dan parti nasional akan kembali menghangatkan suasana politik negeri, namun mengingatkan bahawa parti-parti tempatan sendiri masih gagal bersatu dan sering bertanding sesama sendiri.
“Apa yang rakyat inginkan ialah sebuah kerajaan yang stabil – tidak mudah tumbang, mampu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, dan benar-benar fokus membantu rakyat,” katanya.
Salleh turut menekankan bahawa Sabah memerlukan halatuju yang jelas untuk menarik pelaburan, menyelesaikan isu prasarana asas, membuka peluang pekerjaan dan menjamin masa depan generasi muda.
“Akhirnya, undi rakyat akan menjadi penentu. Pilihlah pasukan yang membawa kestabilan – bukan kekeliruan,” katanya.-SuaraTV



