KUALA LUMPUR – Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris memaklumkan beliau antara jemputan yang menghadiri Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia menyajikan minuman beralkohol.
Razali mendedahkan beliau antara tetamu yang pulang awal kerana tidak selesa dengan hidangan minuman beralkohol dalam majlis tersebut.
“Tiada kesopanan dan kesusilaan maksudnya tidak menepati aspirasi Rukun Negara. Inilah yang berlaku dalam program yang didakwa Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia menyajikan minuman beralkohol.
“Perkara ini sangat benar, jelas lagi terang kerana saya berada di situ dan dijemput atas nama Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu.
“Peristiwa menyajikan minuman beralkohol ini sangat tidak menghormati tetamu yang beragama Islam. Pelayan-pelayan hotel membawa minuman beralkohol secara bebas di atas pesanan tetamu yang hadir.
“Ramai yang tidak selesa, malah saya sendiri pun pulang awal di majlis itu. Malahan ada persembahan kebudayaan daripada pelajar sekolah yang segak berpakaian kebangsaan sewaktu hidangan beralkohol mula diberikan kepada tetamu. Perkara ini sangat serius,” tegas Razali.
Ketua Bersatu Terengganu itu mempertikai, “soalnya berbaloikah program sedemikian yang kononnya menjana impak ekonomi pelancongan bernilai RM420 juta?”
“Kalau ya pun Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya nak beraksi kungfu menepis sana sini, kononnya pihak swasta yang menganjurkannya, maka apa erti panduan dan etika majlis?
“Kekadang, di mana peranan dan nasihat pegawai-pegawai kerajaan dalam kementerian itu?
“Saya hendak memberitahu bahawa di Terengganu, kami memperkenalkan pelancongan mesra muslim. Bukan sahaja ramai pelancong tempatan, malahan pelancong asing yang bukan beragama Islam pun ramai yang datang ke negeri ini.
“Pakat Mari Terengganu dehhhh….. negeri bahagia, alam semulajadi cantik, budaya menarik. Insya-Allah orang-orang baik baik,” katanya.



