CYBERJAYA — Kerajaan memandang serius penyalahgunaan platform e-dagang bagi penjualan dadah dan bahan terlarang secara dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta tindakan tegas diambil bagi membendung kegiatan berkenaan.
Menurut beliau, susulan arahan itu, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan termasuk mengadakan pertemuan dengan salah satu platform yang dipercayai terbabit dalam penjualan bahan terlarang termasuk fentanyl atau ‘piu-piu’.
”Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform berkenaan.
“MCMC dijadual mengadakan pertemuan dengan salah satu platform yang dipercayai terbabit dalam penjualan bahan terlarang termasuk fentanyl atau ‘piu-piu’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik PKD dan NADI di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya, di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, perkembangan teknologi dan capaian internet yang semakin meluas perlu disertai kawalan keselamatan digital bagi mengelakkan kemudahan berkenaan dieksploitasi untuk kegiatan menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, perhatian turut perlu diberikan kepada golongan muda yang merupakan antara pengguna paling aktif dalam persekitaran digital.
“Kemudahan internet yang disediakan kerajaan bukan sekadar merapatkan jurang digital, tetapi perlu dimanfaatkan untuk membina masyarakat yang lebih celik teknologi serta mampu melindungi diri daripada ancaman di alam siber,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata penyalahgunaan platform digital bukan hanya terhad kepada kegiatan jualan dadah, malah pengguna turut terdedah kepada risiko penipuan serta pelbagai bentuk ancaman siber.
Katanya, usaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai keselamatan dalam talian perlu diperkukuh selaras dengan peluasan kemudahan digital menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pusat Komuniti Desa (PKD).
Dalam majlis yg sama, Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen memperkukuh pembangunan masyarakat luar bandar menerusi kerjasama strategik antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Beliau berkata, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan kemudahan serta sumber Kerajaan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh rakyat, khususnya komuniti luar bandar.
“Kerjasama PKD dan NADI mencerminkan semangat Kerajaan MADANI yang mengutamakan sinergi, pengoptimuman sumber serta penyampaian perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat. Usaha ini juga penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan Kerajaan benar-benar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri atas komitmen beliau dalam memperkasa pembangunan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar. Kerjasama antara PKD dan NADI akan membantu kita memperluas manfaat perkhidmatan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.



