KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini telah memperkenan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh bahagian Serian, Sarawak yang diisytiharkan susulan keadaan jerebu.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan, perkenan tersebut dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan pandangan Premier Sarawak serta laporan agensi berkaitan yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Bahagian Serian tidak lagi berada di paras bahaya.
“Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya dan bacaan IPU di beberapa kawasan, khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memantau keadaan dengan rapi dan penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.



