PUTRAJAYA,– Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memasuki hari ketujuh lancar apabila jumlah jualan direkodkan sebanyak RM100 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat jam 10.30 malam tadi.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, kadar transaksi berjaya turut mencatatkan peningkatan kepada 99.9 peratus berbanding 99 peratus pada malam sebelumnya.
Menurut kenyataan itu, usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem yang dilakukan sepanjang enam hari lalu telah menyumbang kepada kestabilan sistem pada hari ketujuh pelaksanaan.
Secara keseluruhan, sejak program Penghargaan SARA bermula pada 31 Ogos lalu, lebih 10 juta rakyat di seluruh negara telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA bulanan. Jumlah perbelanjaan yang direkodkan sepanjang tujuh hari pelaksanaan mencecah RM641.9 juta.



