Kuala Lumpur, 7 September 2025 – Suasana Jalan AU2A/14, Taman Sri Keramat, semalam bertukar meriah apabila lebih 400 penduduk berhimpun meraikan Hari Keluarga yang menjadi acara tradisi sejak awal 1990-an. Biarpun Kuala Lumpur sering digambarkan sebagai bandar yang sibuk dan individualistik, komuniti ini sekali lagi membuktikan bahawa semangat kejiranan masih utuh di tengah pembangunan moden.
Menurut Pemimpin Komuniti Penduduk Jalan AU2A/14 merangkap Penasihat Program, Khasmani Samat, persiapan program telah diatur sejak Jun lalu dengan pelbagai aktiviti dirangka untuk menyemarakkan semangat cintakan negara.
“Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, kali ini hari keluarga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti bertemakan kemerdekaan dan menyemai semangat patriotisme,” jelasnya.

Antara acara yang menjadi tarikan ialah fun walk, pertandingan mewarna, Rumah Paling Patriotik, Busana Paling Patriotik, selain majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Suasana menjadi lebih rancak dengan jamuan makanan dan cabutan bertuah untuk semua penduduk yang hadir.
Khasmani turut menekankan bahawa program ini sudah menjadi kelaziman masyarakat setempat, tanpa mengira generasi atau latar belakang. Bagi penduduk baharu, ia menjadi platform untuk diraikan, manakala golongan uzur dan kurang upaya juga tidak dipinggirkan.
“Alhamdulillah, program hari keluarga meriah dengan kehadiran lebih 400 penduduk terdiri daripada penghuni seluruh Jalan AU2A/14. Semoga dalam arus kemodenan ini, warga Jalan 14 akan terus bersatu dan berganding tenaga dalam mengeratkan jalinan dan kerjasama dalam membangunkan komuniti Taman Sri Keramat,” katanya.

Hari Keluarga Jalan AU2A/14 bukan sekadar acara riadah, sebaliknya menjadi simbol perpaduan komuniti bandar. Kejayaan penganjurannya selama lebih tiga dekad menunjukkan bahawa nilai kekitaan dan rasa tanggungjawab sosial masih boleh dipelihara walaupun dalam persekitaran moden.
Lebih daripada sekadar pertandingan atau hiburan, program sebegini membina asas integrasi masyarakat dari hubungan jiran tetangga hinggalah kepada pembinaan semangat patriotik yang kukuh.



