PRIME Perkukuh Kesiapsiagaan Komunikasi Bencana di Sabah

TAWAU, – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana dengan peluncuran Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) di peringkat negeri Sabah.

Majlis peluncuran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, Tawau.

PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron. Sistem ini membolehkan operasi menyelamat ketika bencana dilaksanakan lebih pantas serta berkesan bersama agensi-agensi berkaitan.

“PRIME adalah antara inisiatif penting bagi memastikan komunikasi tidak terputus sewaktu berdepan bencana, sekaligus mempercepatkan koordinasi bantuan dan keselamatan rakyat,” kata Fahmi.

Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025.

Program HBK kali ini turut diserikan dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara, dengan pengisian seperti Jualan RAHMAH KPDN, pameran usahawan NADI, serta penyampaian sumbangan Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM oleh ICU JPM.

Selain itu, turut diadakan penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.

Terdahulu, Fahmi meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai yang mula beroperasi pada 27 September 2024. Menara tersebut menggunakan teknologi 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh Redtone.

Ujian melalui aplikasi MCMC NEXUS menunjukkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G yang memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 penduduk setempat.

Turut hadir dalam majlis peluncuran ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat