KUALA LUMPUR – Sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didapati bersalah dan dihukum, Kerajaan Perpaduan akan goyang atau tumbang terus.
Demikian dakwaan wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin.
“Jadi Zahid ini sangat-sangat penting (critical) kepada kelangsungan Kerajaan Perpaduan. Peguam Negara tentu tahu hal ini. Lagi pun, bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus pasti arif mengenai perbicaraan Zahid ini.
“Walaupun Zahid dituduh ketika Tan Sri Tommy Thomas menjadi Peguam Negara, namun sebahagian besar perbicaraan berjalan ketika beliau menjadi Peguam Negara.
“Mustahil beliau tidak sedar tentang betapa terancamnya kedudukan Zahid apabila, pada 24 Januari 2022, Mahkamah Tingggi mendapati ada kes prima facie terhadap beliau dan memerintahnya membela diri. Sebelah kaki Zahid sudah pun dalam penjara,” ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.
Kata A. Kadir, takkan lah seorang Peguam Negara hanya pertimbangankan aspek undang-undang saja? Adakah beliau tidak terfikir langsung kepentingan pihak-pihak lain, khususnya kerajaan yang melantik dan menyambung kontrak beliau? Masa pentadbiran Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob tidak pula berlaku perubahan angin terhadap kes Zahid ini.
“Kalau orang biasa pun tahu yang tanpa Zahid, Anwar Ibrahim mungkin tidak dapat jadi Perdana Menteri dan tanpa Zahid kerajaan boleh tumbang, seorang yang arif macam Peguam Negara tentu lebih faham yang Perdana Menteri memerlukan Zahid,” dakwa beliau.
Malah kata A. Kadir, terdapat percubaan sinister oleh penyokong kerajaan bagi memberi gambaran seolah-olah Ahmad Zahid dibebaskan (tanpa dilepaskan) atas keputusan Hakim.
“Malah kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 5 September menggambarkan seolah-olah Hakim bersetuju dengan hujah Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan perbicaraan Zahid.
“Sedangkan dalam ucapannya, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata: “Mahkamah ini membuat keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan. Sebelum saya tangguhkan, saya ingin menyatakan di sini bahawa, apa sekalipun kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman dibuat, tidak boleh dipersoalkan.”
“Maksudnya, memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman adalah hak mutlak Peguam Negara dan tidak boleh dibantah. Dalam bahasa yang mudah, Hakim terpaksa ikut kehendak pendakwaan.
“Hakim Sequerah menambah, seandainya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat bahawa mereka tidak akan meneruskan pendakwaan, bahawa banyak masa kehakiman yang barharga akan terbuang di samping membazirkan banyak wang pembayar cukai,” ulas beliau lagi.
Seperkara lagi kata A.Kadir, perubahan angin oleh Pendakwa Raya ini berlaku tidak sampai sebulan selepas penggantian mengejut Ketua Pasukan Pendakwaan, Raja Rozela Raja Toran, dengan Mohd. Dusuki Mokhtar atas alasan Raja Rozela hendak bersara awal.
“Dengan segala keluarbiasaan ini, adalah mustahil mengelak atau menyekat orang ramai membuat pemerhatian, spekulasi dan andaian. Ibarat kata peribahasa, kalau tidak ada-ada masakan tempua bersarang rendah.
“Maaflah kalau saya kata, saya hanya percaya atau menganggapnya sahih kalau yang membuat keputusan itu hakim. Ini adalah kerana saya cukup yakin yang sesiapa pun dalam kerajaan tidak berani campur tangan di peringkat itu.
“Di peringkat pendakwaan itu cerita lain. Pendakwaan adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara. Peguam Negara dilantik atas perakuan (recommendation) Perdana Menteri dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ada orang kata, jawatan Peguam Negara ini adalah “jawatan politik” atau, setidak-tidaknya pun, dipengaruhi oleh politik,” katanya.
Mengulas lanjut, A. Kadir menyatakan, Peguam Negara masa pendakwaan ke atas Zahid dalam kes Yayasan Akal Budi adalah Tommy Thomas dan Idrus Harun.
Jelas beliau, Thomas meletakkan jawatan pada 28 Februari 2020, beberapa hari selepas Kerajaan Pakatan Harapan digulingkan. Idrus dilantik pada 6 Mac 2020 oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yasin.
“Kontrak beliau tamat Mac lalu tapi disambung oleh Kerajaan Perpaduan selama enam bulan. Kebetulan pada hari-hari terakhir jawatannya itu, Pendakwa Raya memberhentikan pendakwaan ke atas Zahid. Ini memaksa mahkamah membebaskan beliau tanpa dilepaskan.
“Peguam Negara baru, Ahmad Terrirudin Salleh, dilaporkan mula bertugas semalam, 6 September. Jadi kita bolehlah kata yang beliau tidak ada kaitan dengan keputusan tersebut,” katanya.