4.2 Juta Ahli PAS, Umno Mahukan Penyatuan Kata Khairuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Amana Razali menegaskan dirinya tidak pernah mengkritik PAS pada batang tubuh PAS dan idea perjuangannya, sebaliknya hanya menegur tindak tanduk beberapa kerat pimpinan secara umum yang mempromosi pertembungan di sebalik suara mahukan penyatuan.

Beliau malah mengakui mesra Umno dan mesra PAS kerana itulah semangat cita-cita penyatuan PAS dan Umno dan akan kekal mesra kedua-dua pihak.

Khairuddin juga sangat yakin bahawa suara penyatuan antara PAS dan Umno adalah suara hati nurani 4.2 juta ahli PAS dan Umno di bawah.

“Ia adalah kekuatan buat umat Islam Malaysia dalam politik. Cuma kita perlu sentiasa berusaha meredakan ketegangan dan pertelingkahan yang terlihat di media. Itulah perjuangan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Turut dijelaskan tindakannya “berhenti” daripada PAS yang mengundang kritikan daripada pimpinan dan ahli parti Islam itu.

“Saya adalah rakan dan sahabat seperjuangan saudara dalam memperjuangkan Islam. Saya “berhenti” parti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bukannya “keluar”. Rujuk Perlembagaan PAS perbezaan antara “berhenti” dan “keluar.”

“Saya akan terus memperjuangkan cita-cita Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan PAS di mana pun saya berada.

“Saya akan terus memperjuangkan cita-cita menyatukan umat Islam khususnya antara PAS dan Umno sebagaimana keputusan Majlis Syura Ulamak 2015 dan sebagaimana roh perjanjian Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani pada 14 September 2019 dengan linangan air mata ahli-ahli PAS dan Umno dan juga sebagaimana semangat keputusan muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 30 Disember 2021, 13 hari sebelum saya digugurkan sebagai AJK PAS Pusat yang baru dilantik dan seterusnya meletakkan jawatan sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulamak sebulan selepas itu pada 21 Februari 2022 bagi menjaga keharmonian Perlembagaan PAS,” jelas beliau.

Bahkan katanya beliau dilihat sepentas dengan Umno dalam banyak program dan beliau bersedia sepentas dengan PAS dalam apa sahaja program cuma barangkali sentimen saya “berhenti” PAS menjadi hambatan sementara.

“Pada masa yang sama saya sentiasa bersama dalam program kerajaan negeri Terengganu apabila dijemput kerana saya bukannya pembangkang kepada kerajaan negeri dan tentunya bersama dalam program melibatkan kerajaan Persekutuan kerana saya ahli Parlimen kerajaan Persekutuan, “Keluarga Malaysia”. Saya juga sentiasa bersama dengan ahli-ahli PAS di Kuala Nerus apabila berkesempatan berprogram bersama.

“Peruntukan kerajaan Persekutuan kepada saya sebagai ahli Parlimen Kuala Nerus saya agihkan kepada semua rakyat daripada PAS dan Umno apabila dimohon. Tidak pernah saya menolak permohonan daripada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) atau rakyat dan saya sentiasa mengalu-alukan permohonan kerana saya adalah ahli parlimen kepada semua rakyat.

“Di belakang tabir saya turunkan peruntukan saya kepada ahli-ahli PAS berprogram walaupun nama saya dirahsiakan sebgai penyumbang kerana saya sendiri pun tidak minta untuk disebut. Saya kekal membantu PAS dari belakang untuk berprogram di seluruh Malaysia yang memerlukan kewangan meskipun nama saya tidak pernah disebut dan saya pun tidak minta disebut kerana ia menjadi amalan saya sejak sekian lama.

“Ahli-ahli PAS dan petugas ke Muktamar di Kedah ada yang mendapat sumbangan daripada saya sebagaimana amalan sebelumnya ketika saya dalam PAS,” akui beliau lagi.

Khairuddin juga mengucapkan terima kasih kepada Umno Kuala Nerus yang bersedia menjemput beliau berprogram bersama dalam rangka program dengan rakyat di Kuala Nerus dan beliau sentiasa bersedia bersama PAS berprogram apabila terluang.

“Saya berlapang dada dan tidak pernah membenci dan marah kepada ahli PAS yang mengkritik saya dalam komen-komen media sosial.

“Mereka sayangkan PAS dan perjuangan. Mereka adalah saudara seislam dan seperjuangan saya. Saya doakan mereka dikurniakan istiqamah dalam perjuangan Islam. Saya kekal berukhuwwah dan bersaudara dengan semua pimpinan dan ahli PAS dan itulah yang diperjuangkan bersama dan mereka menyambutnya atas semangat persaudaraan dan perpaduan Islam. Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan dan ahli yang kekal berukhwah dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat