Perjanjian MA63, Transformasi Sistem Kerajaan & Parlimen Jadi Keutamaan – Wan Junaidi

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Transformasi sistem kerajaan dan Parlimen serta meneliti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi keutamaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam tempoh pencapaian 100 hari memegang jawatan itu.

Katanya beliau telah membincangkan perkara itu dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dan perdana menteri telah bersetuju secara prinsip untuk meneliti pelan transformasi tersebut.

“Sudah tiba masanya untuk melaksanakan penambahbaikan dan transformasi yang perlu dalam sistem kerajaan dan Parlimen bagi menyesuaikan dengan keadaan sosial dan politik semasa serta lebih bersedia dalam menghadapi cabaran-cabaran terkini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junadi bersama 30 menteri dan 38 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 30 Ogos lalu.

Mengenai urusan Parlimen, Wan Junaidi berkata beliau telah bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun minggu lalu untuk membincangkan transformasi Parlimen.

Transformasi itu akan memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu menghidupkan atau memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen serta cadangan untuk mewujudkan akta baharu Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988), katanya.

Beliau berkata kedua-dua Speaker sangat positif dengan cadangan itu dan telah memberikan komitmen untuk memainkan peranan utama dalam transformasi Parlimen sambil menambah sebuah jawatankuasa bersama antara Parlimen dan pihaknya akan dibentuk untuk memastikan pelbagai cadangan dibincangkan itu dapat dilaksanakan dengan segera.

Mengenai komitmennya terhadap MA63 dalam usaha memastikan hak dan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak kekal terbela dan terpelihara, Wan Junadi berkata: “ MA63 adalah isu yang dekat di hati saya dan ini akan menjadi salah satu keutamaan saya.”

Katanya beliau sudah menemui Peguam Besar Negeri Sarawak dan telah berhubung dengan Peguam Besar Negeri Sabah berhubung perkara itu dengan melihat titik persamaan sebagai pendekatan ke arah mencari penyelesaian. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat