Sijil ini milikmu nak! …ibu bapa sayu, sebak terima diploma arwah anak di pentas konvokesyen

Oleh Zihan Zari

ARAU – “Kalaulah dia ada di sini, dialah orang yang paling gembira memakai jubah ini, ”demikian luahan hiba Zeilawani Abu Naim sewaktu melangkah naik ke pentas bagi menerima skrol diploma mewakili anak sulungnya yang telah kembali ke rahmatullah.

Suasana di dalam dewan begitu hiba bertukar sepi dan diselubungi titisan air mata serta meruntun jiwa apabila nama Allahyarham Ammar Azwar Asri diumumkan pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Utara 2026, di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dekat sini, pada Rabu.

Genggaman segulung Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji) itu menjadi saksi bisu dan bukti tuntas kepada sebuah perjuangan akademik yang terpadam sebelum sempat diraikan oleh pemiliknya.

Skrol berkenaan telah disampaikan sendiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Malaysia, Ulaimi Yahya kepada bapa Allahyarham, Asri Anim yang kelihatan sebak, ditemani isterinya, Zeilawani.

Membuka kembali tirai duka, impian arwah Ammar Azwar untuk bergelar seorang jurutera bertauliah musnah dalam sekelip mata apabila dia dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya yang tragis pada 27 Disember tahun lalu.

Menurut Zeilawani, pada hari kejadian, anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu sebenarnya sedang dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung halaman.

“Dia sangat teruja hendak balik hari itu kerana mahu meraikan majlis pernikahan sepupunya serta majlis pertunangan ahli keluarga kami. Pakaian semua sudah siap digosok, namun takdir Allah S.W.T mengatasi segala-galanya.

“Kemalangan ngeri itu meragut nyawanya akibat kecederaan parah. Walaupun perit, kami reda dengan ketentuan-Nya,”kata Zeilawani dengan nada yang tersekat-sekat.

“Arwah seorang yang sangat mudah disenangi, baik hati, dan sentiasa menceriakan suasana. Sama ada di rumah, dalam kelas, atau bersama rakan serumah, dialah penghibur kami semua.

“Kehilangannya meninggalkan lompang yang amat besar dalam hidup kami,” tambahnya.

Sebelum melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn, Batu Pahat.

Dia kemudiannya meneruskan pengajian di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) selama dua tahun lima bulan, termasuk menamatkan latihan industri selama lima bulan di SPT Services Pengerang, Johor.

Sepanjang tempoh bergelar mahasiswa, Ammar Azwar bukan sahaja dikenali sebagai anak yang berbakti, malah seorang pelajar yang amat cemerlang dan berpandangan jauh.

Antara pencapaian terbesarnya yang menjadi kebanggaan keluarga adalah mengharumkan nama institusi dengan meraih tempat ketiga dalam pertandingan berprestij International Competition and Exposition on Engineering & Technology (ICOMPEX) menerusi projek inovasi ‘Reka Bentuk dan Ciptaan Mesin Mencuci Beras Separa Manual’.

Dalam pada itu, bapa Allahyarham, Asri Anim turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan POLIMAS kerana telah memberikan peluang keemasan kepada anaknya menimba ilmu dan mengejar cita-citanya.

Meskipun majlis konvokesyen itu berakhir tanpa kehadiran fizikal Ammar Azwar, namun segala kenangan, kebaikan, dan jasa yang pernah dicurahkan oleh anak muda itu akan sentiasa terpahat kemas dalam ingatan.

Seluruh sidang dewan konvokesyen turut bersama-sama menyedekahkan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham Ammar Azwar dengan doa agar rohnya diampunkan segala dosa, dilapangkan kuburnya, serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan dianugerahkan ganjaran syurga.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat