KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng menempelak kenyataan Adun Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang disifatkannya sebagai bukan sahaja tidak mesra, malah bersifat kasar terhadap pihak yang sepatutnya menjadi sekutu dan rakan kerjasama dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Penasihat Kebangsaan DAP itu berkata, lebih membimbangkan, Reezal yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu menuduh DAP dan PKR mengamalkan politik identiti, sedangkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang sebenarnya menjadi pelaku utama politik sedemikian.
“Mampukah hubungan antara Umno dan DAP dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus kekal baik serta bebas daripada ketegangan apabila Umno menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dengan melancarkan serangan yang langsung tidak berasas seperti ini?
“Dengan rakan seperti ini, kita tidak lagi memerlukan musuh. Lebih-lebih lagi apabila PN, yang sebelum ini merupakan seteru politik Umno, kini telah menjadi sekutu rapatnya.
“Adakah Umno kini akan menggunakan kedudukannya untuk memanfaatkan sumber Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membantu PN, sambil mengenepikan Pakatan Harapan (PH)? soal bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Tegas Guan Eng, sudah tiba masanya kepimpinan politik Pakatan Harapan (PH) di negeri ini bertindak dengan tegas bagi pihak para pengundi untuk mempertahankan maruah dan martabat kita sebagai Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat.
Reezal sebelum itu berkata, hubungan antara Umno dan DAP di Pulau Pinang kekal baik walaupun berlaku ketegangan antara kedua-dua parti ketika PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Reezal yang juga ketua Umno Kepala Batas berkata, kedua-dua parti tidak pernah ‘bertembung’ walaupun mempunyai perbezaan pendirian.
“Namun, apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan pastinya akan memberi kesan. Kita tidak boleh menafikan hakikat itu,” katanya merujuk kerjasama BN dan PN dalam dua PRN itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, pada Isnin berkata gabungan itu masih belum membuat keputusan sama ada Umno akan kekal dalam kerajaan perpaduan negeri susulan peningkatan kerjasama BN dengan PN.
Reezal berkata, beliau mengekalkan hubungan kerja secara profesional dengan kerajaan negeri dan pentadbiran Kon Yeow juga menyedari perkara itu.
Beliau mengakui kepimpinan BN yang mempunyai kata putus mengenai hubungan antara BN dan PH.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hubungan kerja bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Kepala Batas tidak seharusnya diputuskan.
“Saya telah bercakap dengan rakan-rakan saya di sini di Kepala Batas, sama ada mereka dalam BN atau rakan gabungan kita dalam Kerajaan Perpaduan, dan memberitahu mereka bahawa tidak kira apa situasinya, kita mahu memastikan hubungan rapat ini dikekalkan kerana akhirnya kita mahu memberi manfaat kepada rakyat di sini,” ujar Reezal.
Reezal turut menolak dakwaan BN dan PN menggunakan politik identiti untuk memenangi PRN Negeri Sembilan.
Katanya, pengundi tidak mudah dipengaruhi dengan taktik sedemikian, sebaliknya rakyat mahukan kejelasan ideologi, yang menurutnya ditawarkan oleh BN dan PN.
“Di Negeri Sembilan, Pas memperjuangkan Islam. Umno memperjuangkan kepentingan Melayu. MCA memperjuangkan kepentingan orang Cina dan MIC memperjuangkan kepentingan masyarakat India. Ada kejelasan di situ.
“Namun, di sebelah pihak lain, mungkin saya silap, tetapi DAP walaupun digambarkan sebagai parti berbilang kaum, dilihat memberi tumpuan kepada satu kaum. Mungkin PKR juga dilihat memberi tumpuan kepada satu kaum. Orang ramai tidak melihat kejelasan dalam parti-parti ini,” katanya.



