RUU Pekerja GIG Dibentang 14 Ogos, Zahid Umum Cadangan Tubuh Suruhanjaya Ekonomi GIG

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja GIG akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 14 Ogos ini untuk bacaan kali pertama, manakala bacaan kedua dan undian dijadualkan berlangsung pada 26 Ogos.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Program Sembang Santai Teh Tarik anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di WTC hari ini, Zahid berkata pembentangan tersebut adalah susulan sesi libat urus yang diadakan dua bulan lalu bagi memperkemas perlindungan kepada golongan pekerja ekonomi gig.

“RUU ini selepas diluluskan di Dewan Rakyat akan dibawa ke Dewan Negara, dan seterusnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan serta digazetkan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pertemuan diadakan antara wakil pekerja gig dan penyedia platform pada 30 Ogos ini bagi menyokong pelaksanaan RUU tersebut.

Suruhanjaya Ekonomi GIG Dirancang

Zahid turut mendedahkan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGIM), yang bakal berperanan memperkasa aspek penguatkuasaan dan perlindungan undang-undang melibatkan pekerja gig.

“SEGIM akan ditubuhkan menerusi akta khusus yang akan dibawa ke Parlimen selepas ini. Suruhanjaya ini akan bertanggungjawab mengurus aspek pelaksanaan dan juga cadangan penubuhan dana khas bagi membantu pekerja gig yang hilang upaya atau tidak lagi mampu bekerja dalam sektor berkenaan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Zahid berkata setakat ini terdapat 247 platform yang terlibat dalam sektor gig dan kerajaan komited untuk memperluas perlindungan merentasi semua sektor melalui pelaksanaan yang fleksibel.

“Sebarang penambahan sektor dalam jadual RUU ini tidak perlu dibawa semula ke Parlimen. Ia boleh dilakukan melalui kuasa Menteri Sumber Manusia,” katanya.

Caruman Masih Rendah, Kesedaran Perlu Dipertingkat

Zahid turut menyentuh isu kadar caruman PERKESO yang masih rendah dalam kalangan pekerja e-hailing. Daripada 1.12 juta pekerja gig, hanya sekitar 132,000 yang membuat caruman, katanya.

“Kita harap kempen kesedaran diteruskan agar pekerja dalam sektor ini mengambil tanggungjawab untuk mencarum. Walaupun caruman ini penting, kita juga menyedari ada keterbatasan dari segi pulangan,” katanya.

Beliau mencadangkan agar SEGIM turut berperanan meneliti cadangan skim dana khas untuk memberi bantuan secara ‘one-off’ atau berperingkat kepada pekerja yang terjejas.

Menteri Sumber Manusia: RUU Akan Mudah Cara Caruman

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong dalam sidang media yang sama menjelaskan bahawa RUU Pekerja GIG akan memperkenalkan model caruman baharu yang lebih mudah, automatik dan bersifat ‘postpaid’.

“Sekarang ini modelnya prepaid pekerja kena bayar dulu baru dilindungi. Tapi di bawah RUU ini, ia akan jadi postpaid pekerja dapat perlindungan dulu, baru bayar. Potongan pun automatik dan kecil, contohnya satu sen untuk setiap pendapatan satu ringgit,” katanya.

Menurut Steven Sim, mekanisme caruman ini akan dilaksanakan melalui integrasi sistem platform seperti Grab, tanpa membebankan syarikat dengan kos tambahan.

“PERKESO akan sediakan integrasi ini secara percuma. Kita tak sentuh atau akses data sulit platform, hanya pasang API untuk kira pendapatan dan caruman,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, usaha merangka RUU ini telah melibatkan penyertaan lebih 4,000 pihak berkepentingan termasuk wakil pekerja, majikan dan syarikat platform dalam pelbagai sesi libat urus.

“Kita cuba seimbangkan kepentingan semua pihak pekerja nak perlindungan, majikan mahu daya saing. Saya harap semua Ahli Parlimen, dari kedua-dua blok, menyokong pembentangan RUU ini pada 26 Ogos demi lebih sejuta rakyat Malaysia dalam sektor gig,” kata beliau.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat