Good luck Jailani kumpul RM100 juta bayar Umno – Dr Akmal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis supaya tidak berdalih untuk membayar saman RM100 juta kerana melompat parti.

Katanya, tuduhan kononnya Umno mahu menjadikan bekas EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka itu muflis adalah tidak benar dan dangkal.

“Umno bukan nak mufliskan sesiapa (sebaliknya) hanya mahu menuntut semula janji yang diberi sewaktu menandatangani perjanjian sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) pada 2021.

“Kita tidak memaksa beliau untuk tandatangan perjanjian itu tetapi beliau sendiri yang berbuat demikian kerana hendak sangat menjadi calon mewakili Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Jadi, dia (Jailani) perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dia persetujui sebelum ini,” katanya selepas meraikan lawatan delegasi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Centre on Integrated Rural Development Asia and The Pacific (CIRDAP) Ke-39 di Merlimau, Melaka pada Rabu, lapor BH.

Menerusi portal berita dalam talian semalam, Jailani dilapor berkata, tuntutan Umno sebanyak RM100 juta itu bertujuan untuk menjadikan dia muflis.

Beliau turut mengakui akan berdepan isu kewangan jika tuntutan terbabit dipenuhi, namun akan kekal dengan keputusannya menyertai PAS.

Dr Akmal yang juga Ketua Umno Bahagian Jasin, berkata ADUN Rembia itu dinasihatkan tidak memutarbelitkan fakta dengan dakwaan yang tidak masuk akal serta lari daripada situasi sebenar.

“Faktanya, kamu (Jailani) yang nak tandatangan perjanjian itu tanpa ada paksaan dan kamu perlu mengambil tanggungjawab apabila melompat parti.

“Terimalah sahaja kenyataan ini dan Umno hanya menuntut balik janji yang kita sama-sama persetujui sebelum ini.

“Bagaimanapun saya nak ucapkan kepada Jailani, `good luck’ (selamat berjaya) mengumpulkan RM100 juta daripada sekarang untuk dibayar kepada Umno,” katanya.

Hujung bulan lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata Umno akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Jailani bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang turut mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.

Tindakan itu sejajar perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang sudah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat