KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pejuang Rafique Rashid Ali mendakwa laungan “tolak Umno” yang bergema dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Seremban, malam tadi hanyalah retorik semata-mata.
Peguam itu berkata, realitinya semua hanya berani sorak sahaja tapi tidak diterjemahkan dalam pentadbiran di Putrajaya.
“Riuh di Seremban semalam. Gempita sorakan. PH tolak! tolak! tolak Umno!
“Realitinya semua hanya sorak .Berani sorak sahaja.
“Sedangkan, di Putrajaya Umno masih dalam Kabinet. PH masih sokong. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih ada TPM I dari Umno (Datuk Seri Zahid Hamidi). Masih ada Kabinet dari Umno.
“Bahkan di Negeri Sembilan masih ada Umno walaupun dikata hilang percaya pada Menteri Besar minoriti dari PKR/PH.
“Di Melaka, Johor, Perak, Selangor dan Pahang masih ada Umno dan PH,” bidas Rafique.
Justeru kata beliau, maka cukuplah retorik kedua belah pihak PH dan Umno ini.
“Masing-masing kata tolak sesama sendiri. Ini akan diulang-ulang. Akhirnya lepas pilihan raya gabung balik. Demi individu.
“Once bitten twice shy. Jangan biar dipatuk ular lagi.
“Rakyat mesti bijak. Dengar boleh percaya jangan,” tegas beliau.



