KUALA LUMPUR – Umno hilang kehebatan Islam dan Melayunya dalam kalangan mereka yang anti-Islam, dan melemahkan semangat Islam dan Melayu sehingga kumpulan lain pula berani membuat kenyataan anti-Islam secara terbuka tanpa halangan.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Awang menilai, apa yang dilakukan sekarang, Umno sedia meninggalkan asas Islam dan Melayu, laksana mencabut paku lantai kerana bekerjasama dengan parti liberal seperti PKR dan parti yang melampau sekularnya seperti DAP kerana mahukan kedudukan, bukan kuasa dalam kerajaan.
“Tindakan ini melemahkan pegangan Umno kepada dasar perjuangannya laksana mencabut paku lantai Islam dan Melayunya supaya masuk angin dari bawah, tidak cukup dengan angin melalui jendela yang terbuka. Sehingga menyebabkan Umno berpenyakit dan semakin lemah.
“Apabila paku lantai dicabut, maka lantainya banyak yang terbuka lalu masuk angin dari bawah rumah yang berpenyakit dan menambahkan lagi kelemahan Umno.
“Ramai dalam kalangan Umno yang menjadi bisu terhadap gejala negatif dan kemungkaran kerana lemahnya semangat Islam dan Melayu Bumiputera mereka yang telah dihanyutkan oleh konsep liberal masyarakat majmuk.
“Keadaan ini terjadi kerana ingin menjaga kedudukan yang sedang berpijak di atas lantai yang lemah dan bergoyang akibat dicabut paku lantainya.
“Bahkan, mereka berani mencabar kedudukan Islam dan berusaha melemahkan pengaruh politik bangsa Melayu Islam dan Bumiputera,” kata Hadi dalam catatan Minda Presiden Pas pada Khamis.
Ujar Ahli Parlimen Marang itu lagi, hal ini termasuklah keberanian beberapa pihak untuk menganjurkan aktiviti yang merosakkan akhlak dan melemahkan pegangan agama atas nama kebebasan kebudayaan tanpa memikirkan batas agama dan adat Melayu, serta adat kaum lain yang berasal dari Timur, bukan adat budaya asing.
“Atas nama pelancongan, dibebaskan budaya asing tanpa mengira halal dan haram, yang di luar daripada konsep pelancongan yang sepatutnya menonjolkan keaslian adat dan budaya kita yang tidak sama dengan mereka.
“Umno terpalit dalam perkara negatif yang berlaku kerana salah memilih kawan,” tegas Hadi.
Menurut beliau, Pas dan Umno sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan dan meletakkan Islam serta umat Islam memimpin kuasa politik. Walaupun berkhilaf dalam beberapa perkara, kedua-dua parti ini bersatu dalam perkara dasar dan perkara yang melibatkan kepentingan umat Islam dan negara.
“Malah, beberapa kerjasama pernah berlaku antara Pas dengan Umno dalam isu yang melibatkan dasar Islam dan keselamatan negara.
“Keadaan berubah apabila dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Pas memperolehi banyak kerusi di beberapa negeri dan mempunyai paling banyak kerusi di Parlimen.
“Namun, Umno menolak tawaran kerjasama bersama Pas atas alasan Pas lebih kuat daripada Umno, dan ada yang beranggapan Pas akan membunuh Umno. Tiba-tiba, parti bukan Islam pula yang mengangkat Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran dalam keadaan Umno tidak mempunyai kedudukan yang kuat.
“Jika dilihat dalam lipatan sejarah, Pas pernah berada dalam Kerajaan Campuran 1974 pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak dalam keadaan Pas masih lemah.
“Almarhum Tun Abdul Razak sedia menguatkan Pas dengan memberi kerusi dan jawatan Exco di setiap negeri, serta memberi peluang kepada Pas untuk berada dalam Kabinet.
“Malah, Pas juga dibenarkan bergerak di pusat-pusat pengajian tinggi dan bersama dalam kementerian dan jabatan kerajaan,” kata Hadi.



