KUALA LUMPUR – Umno Negeri Sembilan perlu beradat dan beradab dalam berorganisasi politik.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno Pusat memilih kestabilan namun Umno Negeri Sembilan memilih konfrantasi.
“Keputusan ini menunjukkan kepimpinan pusat Umno mengambil pendekatan matang. Mengutamakan kestabilan kerajaan negeri
sekali gus menolak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Umno Pusat menghormati kerangka Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), ini penting untuk difahami oleh akar umbi.
“Ini bukan soal “menang atau kalah politik dalaman”. Ini soal menjaga mandat rakyat dan kestabilan negeri.
“Sayangnya Umno Negeri Sembilan terus memilih jalan untuk berkonfrontasi,” kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Justeru Mahfuz menyeru dalam suasana ini semua pihak perlu bertenang dan berdisiplin.
“Hentikan serangan terbuka sesama rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Elakkan naratif yang membakar sentimen.
“Fokus kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri.
“Kita tidak pertahankan kesilapan sesiapa, tetapi kita juga tidak benarkan perpecahan melemahkan kerajaan yang dipilih rakyat.”
“Kalau ada yang terlalu ghairah bermain politik hingga hampir menggugat kestabilan,kenyataan ini sudah cukup menjadi cermin,bukan semua langkah itu mendapat restu,” saran beliau.
Ujar Mahfuz, dalam politik silap langkah boleh berlaku tetapi yang membezakan kepimpinan matang ialah keberanian untuk membetulkan langkah bukan mempertahankan kesilapan.
Menurut beliau, pendirian mesyuarat bersama yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah mesej paling jelas iaitu Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal utuh.
“Sebarang percubaan menggugat kestabilan tidak mendapat restu kepimpinan pusat. Maknanya mudah. Isu ini telah diputuskan di peringkat tertinggi.Tidak perlu lagi polemik yang berpanjangan.
“Tapi malangnya Umno Negeri Sembilan masih berdolak dalik terhadap keputusan yang di buat oleh Presiden dan kepimpinan tertinggi Umno.
“Tanpa perlu menuding jari, kenyataan ini membawa mesej disiplin yang jelas yakni segala tindakan yang menyentuh sensitiviti negeri mesti dirujuk kepada Majlis Perundingan tertinggi kerjasama PH dan BN.
“Ini bermaksud tidak boleh ada gerakan bersendirian atau percaturan politik unilateral. Terjemahan politiknya dari pendirian ini ialah “apa sahaja tindakan sebelum ini yang tidak selari dengan semangat kerjasama tidak dipersetujui oleh kepimpinan pusat”, katanya.
Jelas Mahfuz, keputusan bersama ini membuktikan kepimpinan pusat Umno dan PH tidak menyokong sebarang bentuk ketidakstabilan.
“Sebarang tindakan yang bercanggah dengan semangat Kerajaan Perpaduan telah diperbetulkan secara kolektif,” katanya.



