KUALA LUMPUR – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor diingatkan untuk terus bekerja dan berkhidmat buat rakyat dengan pelbagai program serta inisiatif masih perlu dilaksanakan.
Peringatan itu diberikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz yang mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak akan dibubarkan hari ini.
ADUN Machap itu turut berkata, soal pilihan raya perlu ditolak ke tepi dahulu.
“Ada desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku tidak lama lagi dan pelbagai spekulasi lain.
“Jadi, hari ini, saya ingin menjawab spekulasi tersebut dalam dewan yang mulia ini, saya mengumumkan bahawa DUN Johor tidak akan dibubarkan pada hari ini.
“Jadi, semua ADUN jangan risau pasal pilihan raya, terus buat kerja dan berkhidmat untuk rakyat, soal pilihan raya tolak tepi dulu, banyak lagi program serta inisiatif perlu kita laksanakan,” katanya memetik Harian Metro di Iskandar Puteri pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Terdahulu, suasana DUN Johor sedikit ‘gempar’ apabila Speaker DUN Johor, Datuk Puad Zarkashi bertanya sama ada Onn Hafiz sudah mendapat ‘mimpi’ mengenai pembubaran DUN dan Onn Hafiz menjawab ada ‘pengumuman besar’ ingin dibuat.
“Saya lihat ada sedikit kelainan dalam sesi perbahasan DUN kali ini. Ada yang kata mungkin ini sidang DUN terakhir sebelum pilihan raya, ada yang mula mohon maaf dan salam-salam,” katanya.
Sebelum ini, Onn Hafiz menegaskan pentadbiran kerajaan negeri itu hanya akan tamat pada April 2027.
Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN negeri.



