KUALA LUMPUR, — Wanita perlu diangkat sebagai penentu utama masa depan negara, bukan sekadar pelengkap dalam pembangunan, tegas Mastura Yazid.
Menurut beliau, pemerkasaan wanita kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan nasional yang mesti diterjemah dalam bentuk kuasa sebenar.
“Memperkasa wanita bukan sekadar memberi ruang, tetapi memberi kuasa. Suara wanita mesti diterjemah menjadi kuasa, peluang, pemilikan dan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata, perjuangan wanita hari ini perlu bergerak melangkaui penyertaan semata-mata kepada keupayaan membentuk sistem dan hala tuju negara.
“Perjuangan wanita hari ini bukan sekadar untuk berada dalam sistem, tetapi untuk membentuk sistem,” katanya.
Kenyataan tersebut turut dilihat selari dengan penegasan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika merasmikan Forum Voices of HER di Menara Dato’ Onn, WTC Kuala Lumpur, semalam yang menekankan bahawa pemerkasaan wanita bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan nasional.
Dalam masa sama, Mastura menegaskan bahawa komitmen kepimpinan politik perlu jelas dalam memastikan agenda tersebut diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, termasuk memperluas penyertaan wanita dalam badan legislatif.
“Perjuangan ini mesti mengubah kedudukan wanita Malaysia di peringkat penentu dasar dan polisi negara, sekali gus memastikan suara wanita benar-benar berkesan serta mampu mempengaruhi hala tuju negara,” ujarnya.
Mengulas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau menyifatkan ia sebagai peluang penting untuk membawa perubahan terhadap landskap penyertaan wanita dalam politik.
“Sasaran minimum 30 peratus calon wanita bukan sekadar angka, tetapi bukti kesungguhan politik untuk membawa lebih ramai wanita ke meja membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sumbangan wanita selama ini perlu diterjemahkan kepada kedudukan yang lebih signifikan dalam struktur kuasa negara.
“Sudah terlalu lama wanita diminta bekerja kuat dan berkorban, tetapi kurang diberikan peluang di meja kuasa,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Mastura menyeru agar agenda pemerkasaan wanita dijadikan satu gerakan berterusan demi memastikan pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan.



