Peniaga didakwa di mahkamah kerana hantaran komunikasi jelik di Instagram

SEPANG, 7 April — Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik menerusi media sosial Instagram, dua tahun lalu.

Tertuduh, Sanuzi Kernain, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, Sanuzi didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi akaun Instagram “boss.s_k” pada 13 November 2024.

Hantaran berkenaan kemudiannya dikesan di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Cyberjaya pada jam 5.15 pagi, 21 Februari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Semasa prosiding, pegawai pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri, mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Badrul Mushani Mustapa Albakari yang mewakili Orang Kena Saman (OKS) memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya bekerja sendiri dan sedang merancang memulakan perniagaan baharu secara kecil-kecilan dalam masa terdekat.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes ini sekali lagi mengingatkan pengguna media sosial bahawa sebarang hantaran yang bersifat jelik, mengaibkan atau berniat menyakitkan hati pihak lain boleh membawa implikasi undang-undang serius di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Bernama/SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat