KUALA LUMPUR – Walaupun landskap ekonomi dunia sedang berhadapan dengan situasi sukar, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan daya tahan ekonomi Malaysia kuat, berupaya menampung gelombang ini untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa yang penting, kesemua sektor perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan pendekatan senegara bagi menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi negara.
Justeru katanya, Kerajaan Madani akan melipat gandakan komitmen memelihara dan memastikan akses pasaran tidak terjejas, selain terus menarik pelaburan asing, meneruskan agenda reformasi ekonomi dan industri bagi menyokong rantaian bekalan, serta kesejahteraan pekerja serta perniagaan di Malaysia.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) bermula minggu ini.
Ujarnya, kira-kira 300 delegasi terdiri daripada Menteri Kewangan ASEAN, Gabenor Bank Pusat, pegawai daripada Institusi Kewangan Antarabangsa dan wakil sektor swasta akan menghadiri AFMGM yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga Khamis,10 April 2025.
“Perdana Menteri akan bertemu dengan para pelabur ASEAN dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Pelaburan ASEAN pada Selasa, 8 April 2025. Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri majlis penutup AFMGM pada Khamis, 10 April 2025.
“Perdana Menteri akan memberi penekanan terhadap keperluan negara-negara Asean, membentuk satu kesepakatan dalam mengukuhkan lagi soal ekonomi dan perdangan di rantau ini,” beritahu beliau.
Selain itu katanya, Perdana Menteri juga akan memanjangkan perbincangan yang diadakan bersama ketua-ketua negara ASEAN tempoh hari terkait isu tarif Amerika Syarikat yang mana perkara ini memerlukan perbincangan dan rundingan yang menyeluruh bagi membawa suara komuniti ASEAN.
“Berhubung impak geoekonomi susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan tentang langkah proaktif yang telah, sedang dan bakal diambil berasaskan kepada pendekatan ‘whole-of-nation’.
“Langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan termasuklah: pengaktifan semula Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri; penubuhan pasukan petugas oleh MITI untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada industri; mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Menteri MITI; rundingan strategik peringkat tertinggi secara langsung dengan Amerika Syarikat; serta usaha memperluas dan mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia ke rantau-rantau serta blok ekonomi baharu dan meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan baharu.
“Langkah-langkah ini akan memperkukuh daya tahan negara, menstabilkan pasaran, dan melindungi pekerjaan serta pelaburan rakyat,” katanya.