Vokal bukan lagi faktor ‘wow’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Single Gatal dendangan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36, Janna Nick yang dilancarkan 9 Februari lalu mencetuskan fenomena hingga menjadi kegilaan terutama dalam kalangan pengguna Gen Z di platform digital terutama TikTok.

Sejak dimuat naik di YouTube tiga minggu lalu, video muzik Gatal yang turut menampilkan aktor Shukri Yahaya, mencatatkan lebih tiga juta tontonan malah single ‘come back’ Janna itu bolos senarai Top 10 Lagu Paling Popular dalam aplikasi TikTok Indonesia, bulan lalu.

Melihat perkembangan ini, terbukti industri muzik berevolusi apabila platform TikTok kini dianggap medium paling berkesan dalam mempromosikan pelbagai produk termasuk lagu baharu.

Kewujudan aplikasi itu memberi impak positif kepada industri muzik terutama kepada penyanyi yang mempunyai dendangan baharu yang hendak dipasarkan.

Andai bernasib baik, lagu mereka bukan sahaja popular dalam kalangan pengguna TikTok tempatan untuk dijadikan kandungan video, malah, merentas negara jiran. Ini yang dilihat berlaku kepada lagu Gatal ciptaan Apeul Roza yang popular di Thailand, Vietnam, Filipina dan Russia.

Namun, dalam keghairahan melihat bagaimana lagu tempatan diterima peminat di seluruh dunia, kalangan penggiat industri muzik mula membangkitkan mengenai pengaruh teknologi digital terhadap karya seni.

Bukan menolak ledakan teknologi dalam industri muzik, namun, pengaruh digital seperti penggunaan ‘auto-tune’ dan penghasilan karya ‘ringan’, dilihat merisaukan.

Malah, dalam keadaan tertentu, vokal penyanyi bukan lagi menjadi kriteria utama asalkan karya dapat dipromosikan melalui pakej lengkap termasuk melalui aplikasi digital.

Andai melihat kepada corak pengguna TikTok, rata-rata pengikut aplikasi itu gemarkan lagu berunsur ‘catchy’. Malah, penyanyi tidak memerlukan vokal mantap untuk membolehkan lagu mereka diterima.

Komposer dan penyanyi, Ajai yang sudah lebih tiga dekad berkarya, menganggap populariti sesebuah lagu di TikTok tidak hanya terletak kepada sentuhan muzik, sebaliknya, memerlukan bantuan visual video muzik.

 

Faktor bunyi instrumen, susunan muzik dan rentak lagu dianggap Ajai penting untuk sesebuah lagu diterima di TikTok. Foto IG Ajai
Faktor bunyi instrumen, susunan muzik dan rentak lagu dianggap Ajai penting untuk sesebuah lagu diterima di TikTok. Foto IG Ajai

 

Tanpa sokongan muzik video, Ajai kurang pasti sejauh mana sesebuah lagu mampu ‘pergi’.

Namun, Ajai berkata, untuk sesebuah lagu diterima di TikTok, elemen penting yang diambil kira pendengar adalah bunyi instrumen, susunan muzik dan rentak lagu.

“Pengguna TikTok tidak melihat kepada lontaran vokal penyanyi. Sebaliknya, mereka mendengar keseluruhan lagu iaitu daripada susunan muzik, rentak dan melodi.

“Itulah yang dinamakan platform digital. Kita kena akur inilah situasi industri muzik sekarang.

“Pada zaman ini, peminat tidak lagi mendengar album atau membeli cakera padat. Segala-galanya di hujung jari. Semua orang memiliki telefon bimbit hatta kanak-kanak ada telefon pintar.

“Hanya peminat tegar membeli lagu seseorang penyanyi di platform Spotify dan iTunes. Semuanya kerana kita boleh mengakses muzik secara percuma dan mudah melalui platform seperti TikTok,” katanya.

Ajai berkata, biarpun royalti diterima penyanyi untuk platform seperti TikTok dan YouTube tidak sama seperti jualan album, penyanyi sekarang lebih mengejar jumlah tontonan.

“Lebih banyak orang menonton, lebih banyak pulangan bakal diperoleh mereka. Selain itu, penyanyi juga boleh menjana pendapatan melalui iklan.

“Contohnya, seperti YouTube, lebih banyak penonton, peluang untuk memikat pengiklan juga lebih cerah,” katanya.

Ajai berkata, cara ‘buat’ duit’ melalui platform digital lebih meluas daripada album.

“Melalui platform seperti TikTok inilah penyanyi atau sesiapa sahaja boleh mengumpul peminat baharu.

“Kita juga perlu akur TikTok digunakan masyarakat di seluruh dunia. Jika ada kandungan menarik, tidak mustahil nama seseorang artis, penceramah atau sesiapa saja boleh tular,” katanya.

Bagi komposer dan penyanyi muda, Yonnyboii, selera peminat terhadap vokal penyanyi berbeza sekarang.

Penyanyi lagu Salahku itu tidak menafikan suatu ketika dahulu, peminat mengagumi penyanyi kerana kemampuan mereka mendendangkan lagu nada tinggi

“Peminat muzik kini lebih bersikap terbuka apabila menerima penyanyi yang ada stail dan keunikan tersendiri dalam persembahan,” katanya.

Yonnyboii berkata, lazimnya lagu berentak ‘catchy’ senang mendapat sambutan baik di platform TikTok, bukannya vokal.

“Peminat sekarang tidak kisah bagaimana vokal seseorang penyanyi. Itu adalah stail masing-masing dan melambangkan keunikan penyanyi.

 

Yonnyboii berpendapat peminat muzik lebih bersikap terbuka apabila menerima penyanyi yang ada stail dan keunikan tersendiri dalam persembahan. Foto IG Yonnyboii
Yonnyboii berpendapat peminat muzik lebih bersikap terbuka apabila menerima penyanyi yang ada stail dan keunikan tersendiri dalam persembahan. Foto IG Yonnyboii

 

“Kebanyakan lagu yang popular di TikTok berentak ‘catchy’. Selain itu, apa yang saya perhatikan, pendengar suka lagu yang ada kaitan dengan mereka.

“Mereka lebih sukakan lirik lagu ‘straight forward’. Bagi saya, semua penyanyi harus memanfaatkan platform ini.

“Mahu atau tidak, mereka perlu belajar menggunakannya. Jika tidak, mereka akan ketinggalan kerana platform itu bukan hanya diakses pengguna tempatan, malah, penduduk seluruh dunia.

“Jadi, potensi untuk kita menarik peminat baharu sangat besar melalui platform itu,” katanya.

Sependapat dengan Ajai, Yonnyboii berkata, selain platform TikTok, video muzik juga memainkan peranan cukup penting untuk memperkenalkan seseorang penyanyi.

Namun, katanya, video muzik yang dihasilkan perlu berbeza, bukan tipikal.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Domestik, Warner Music Malaysia, Sabrina Azman berkata, kerja pemasaran dan promosi lagu memainkan peranan sangat penting.

Katanya, lazimnya, syarikat rakaman bekerja keras mempromosikan sesebuah lagu jika dendangan itu berpotensi ‘pergi’ jauh.

“Disebabkan dua lagu nyanyian Janna pernah ‘trending’, kami harus pastikan Gatal mendapat impak serupa.

“Jadi, kami berbincang dengan Janna bagaimana hendak menjadikan lagu Gatal viral di platform media sosial terutama TikTok.

“Janna sudah sedia maklum dengan kepentingan TikTok. Jadi, dia beri komitmen 100 peratus untuk lagu itu,” katanya.

Sabrina tidak menafikan kekuatan TikTok dalam meningkatkan pencapaian lagu pada zaman sekarang.

“Apabila sesebuah lagu ‘trending’ di TikTok, ia akan membantu meningkatkan penstriman di Spotify dan YouTube.

“Kelebihan kewujudan TikTok adalah pelanggan dan penonton lebih meluas hingga ke Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Kemboja, Russia dan banyak negara lain,” katanya.

Bagaimanapun, Sabrina menambah, tidak semua lagu mampu meraih kejayaan seperti Gatal. Ada lagu mengambil masa lama untuk tular dan memerlukan promosi kuat.

Sabrina berkata, pemasaran dan promosi memainkan peranan sangat penting, apatah lagi, jangka hayat sesebuah lagu di zaman digital tidak lama. Lazimnya, setiap tiga bulan ada lagu baharu muncul dan popular.

“Sebenarnya kita sukar hendak membaca selera pendengar. Tidak semestinya lagu ‘catchy’ mudah diterima dan tidak semua lagu layak untuk TikTok. Kadang-kala bergantung kepada nasib.

“Contohnya, lagu Intan Payung nyanyian Noraniza Idris dan Bunga Isme. Lagu itu ‘trending’ selepas lebih lima bulan dilancarkan. Single itu terus viral hingga bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36.

“Syarikat rakaman perlu kerja keras mempromosikan lagu. Walaupun menggunakan platform percuma seperti TikTok, kami perlu mengeluarkan kos seperti menawarkan hadiah dan baucar sebagai salah satu strategi,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat