Kerajaan peruntuk RM8.46 juta perkasa Renjer Komuniti Sabah lindungi biodiversiti negara – Arthur

NABAWAN,— Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM8.46 juta bagi pelantikan 225 Renjer Komuniti di Sabah untuk tahun 2026, sebagai usaha memperkukuh perlindungan khazanah biodiversiti negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM80 juta di bawah Belanjawan 2026 bagi melantik seramai 2,500 Renjer Komuniti di seluruh negara menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Menurut beliau, peranan Renjer Komuniti amat kritikal memandangkan kemahiran mereka dalam selok-belok hutan membantu pihak berkuasa membanteras pencerobohan, pembalakan haram dan pemburuan haram yang mengancam kelestarian alam.

Arthur berkata, tanpa tindakan luar biasa dan tegas, Malaysia berisiko kehilangan spesies ikonik untuk selama-lamanya, justeru pengukuhan rondaan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berterusan.

Beliau memaklumkan, sejak Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilaksanakan pada 2019 hingga Disember 2025, seramai 904 warganegara tempatan dan 294 warga asing telah ditangkap, dengan nilai rampasan mencecah RM413.1 juta.

Selain itu, katanya, sebanyak 2,838 jerat haiwan berjaya dimusnahkan bagi melindungi spesies terancam seperti orang utan, banteng Borneo dan gajah pygmy.

Di peringkat negeri, Arthur berkata setakat ini seramai 217 Renjer Komuniti Sabah telah ditempatkan di 18 pos rondaan di kawasan strategik termasuk Keningau, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Tawau, Tenom dan Sipitang.

Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap penubuhan pasukan SMART Analyst yang dianggotai Renjer Komuniti wanita, yang berperanan mengurus data hotspot jenayah hutan secara lebih komprehensif.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata beliau mahu melihat lebih ramai penduduk Nabawan terlibat dalam inisiatif ini memandangkan kira-kira 70 peratus kawasan daerah itu merupakan Hutan Simpanan Kekal.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan peruntukan tambahan bagi melantik 15 Renjer Komuniti khusus untuk kawasan Pagalungan dan Pensiangan bagi memperkukuh kawalan dan rondaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan OBK kini dijadikan sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari beliau selaku menteri bagi memastikan impak lebih ketara kepada rakyat dan kelestarian alam.

Usaha perlindungan biodiversiti Malaysia itu turut menerima pengiktirafan antarabangsa, termasuk Asia Environmental Enforcement Awards yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2021 dan 2023.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat