Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Peluncuran RPTM 2026-2035 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lalu menjadi ‘game changer’ utama dalam mentransformasikan landskap Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) secara radikal.
“RPTM 2026-2035 hadir sebagai pemangkin untuk melonjakkan POLYCC ke persada yang lebih tinggi. Dengan kadar kebolehpasaran graduan yang mencecah 98.8 peratus (%) pada tahun 2024.
“Kami yakin reformasi ini akan terus menjadikan POLYCC pilihan utama rakyat dalam melahirkan ‘Pembina Negara’ yang kompeten dan mampan, ”kata Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah.
Dr. Shamsuri berkata, POLYCC kini bertekad melaksanakan lima aspirasi transformasi yang merangkumi peningkatan kecekapan tadbir urus, dan penawaran program bernilai tinggi.
“Selain itu, pengukuhan kolaborasi industri melalui model ‘Quintuple Helix’, pemantapan bakat tenaga pengajar, serta pembangunan pembelajar yang holistik dan berintegriti.
“Transformasi ini turut melibatkan pendigitalan sepenuhnya operasi dan penyelarasan kurikulum yang ‘siap siaga masa hadapan’ bagi memastikan graduan mampu meraih gaji premium selaras dengan Dasar Gaji Progresif negara, ”katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dokumen strategik ini meletakkan Kompetensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju sebagai Lonjakan ke-3, sekali gus mengiktiraf peranan kritikal TVET dalam memacu ekonomi negara.
“Di bawah kerangka RPTM 2026-2035, POLYCC akan beralih daripada penyedia latihan
konvensional kepada institusi TVET memfokuskan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (High Growth High Value) seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), dan tenaga boleh baharu.
“Langkah ini bertujuan memenuhi keperluan tenaga kerja mahir bagi menjayakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Ekonomi MADANI, ”katanya lagi.
“Bagi menyokong transformasi ini, Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa agenda besar terkait POLYCC, termasuk, penggubalan Akta Politeknik dan Kolej Komuniti yang memberikan kedudukan setaraf universiti awam dari segi tata kelola dan membebaskan institusi daripada kekangan birokrasi, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, sebanyak 10 politeknik akan dinaik taraf sebagai Politeknik Premier dalam tempoh 10 tahun akan datang serta Program Ijazah Sarjana Muda: Politeknik Premier diberi mandat menawarkan program ijazah berasaskan Work-Based Learning (WBL) bagi menyokong sektor strategik seperti Elektrikal dan Elektronik (E&E).-SUARA.TV



