KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dijangka meninggalkan UMNO dalam tempoh terdekat setelah mendapati tiada lagi masa depan politiknya dalam parti tersebut.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dijangka membuat pengumuman tersebut esok atau minggu hadapan.
Menurut sumber, Tengku Zafrul merasakan masa depan politik beliau dalam UMNO telah berakhir selepas muncul berita beliau dipelawa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa bulan lalu.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid kini tidak lagi berkomunikasi dengan Zafrul sejak tersebarnya berita tersebut.
Zahid bukan sahaja tidak mahu bertemu Zafrul, malah semua mesej Zafrul tidak dijawab,” dakwa sumber tersebut.
Walaupun beberapa pemimpin kanan UMNO cuba mengaturkan pertemuan, namun difahamkan semuanya gagal.
Bagaimanapun sumber tersebut menyatakan Zafrul tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat sementara waktu.
Semalam startegis DAP dan Pakatan Harapan, Ong Kian Ming mencadangkan Zafrul dilantik sebagai Duta ke Amerika Syarikat berikutan kegagalan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memainkan peranan yang berkesan menghubungkan Malaysia dengan pentadbiran Trump.
Sementara itu sumber dalam PKR memberitahu SUARATV, Zafrul akan menyertai PKR sebelum
pemilihan akan datang yang dijadual pada Mei nanti.
“Zafrul telah tiada masa depan dalam UMNO, adalah elok beliau menerima tawaran menyertai PKR,” ujar sumber terbabit.