Berterus terang lah jika mahu jadi duta ke AS

- Advertisement -

Oleh Mohamed Nazri Aziz

UMUM mengetahui kontrak saya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) tamat hari ini selepas dua tahun melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Yang perlu difahami adalah saya dilantik dengan kontrak selama dua tahun bukannya untuk satu tempoh yang tidak tetap.

Dua tahun tentulah jangka masa yang singkat untuk saya membantu negara dengan tugas yang diberikan. Namun saya telah mencuba sebaik mungkin.

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan sepenuhnya apa yang telah saya lakukan selama dua tahun berada di Washington DC.

Selama dua tahun ini saya tidak sibuk untuk mendapatkan publisiti dengan apa yang saya lakukan.

Cuma ada sekali sekala wartawan yang mengenali saya akan menghubungi bertanya tentang reaksi Rumah Putih terhadap kenyataan tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu tindakan kejam dan gila Israel ke atas Gaza.

Itu lah yang maklumkan bahawa saya dipanggil oleh Jabatan Negara AS kerana kenyataan tegas perdana menteri dan saya mempertahankan pendirian Malaysia itu.

Saya dipanggil oleh Jabatan Negara AS sebanyak lima kali kerana ketegasan Anwar dalam isu Palestin dan Gaza, mempertahankan Hamas dan bertemu pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar, mempertahankan hak Iran yang bertindak balas apabila konsulatnya di Syria diserang Israel, lawatan ke Russia dan kenyataan tentang Chinaphobia.

Adakah mempertahankan kenyataan tegas Malaysia ini tidak penting?

Selain itu, ketika menggalas tugas ini saya telah berusaha memastikan untuk Malaysia dinaik taraf ke Tier 2 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS.

Pada tahun 2023, Jabatan Negara AS meletakkan Malaysia pada Tier 2 pemerhatian. Malaysia tidak lagi disenaraikan pada Tier 3 sepertimana tahun sebelumnya.

Kalau ini bukan dianggap satu usaha penting, saya tidak tahu macam mana mahu mengulasnya.

Sebelum saya memulakan tugas di Washington DC, saya dimaklumkan tentang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Guantanamo Bay sejak 2006.

Keduanya mahu pulang ke Malaysia untuk berada bersama keluarga. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berusaha untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia ini dengan pergi bertemu pihak terbabit untuk memastikan dua rakyat Malaysia diserahkan kembali.

Sebagai duta saya berusaha memastikan usaha ini dapat dilaksanakan. Akhirnya pada 17 Disember tahun lalu, AS menyerahkan Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin.

Menaik taraf Malaysia ke Tier 2 dan memastikan dua rakyat Malaysia di Guantanamo Bay adalah apa yang saya lakukan sebagai duta bagi memastikan usaha sahabat saya, Saifuddin Nasution dan kerajaan Malaysia berhasil.

Selain dari itu saya hanya membuat kerja-kerja sebagai duta tanpa memerlukan sebarang publisiti kerana saya beranggapan perkara itu tidak perlu dilakukan. Yang penting kerja yang diamanahkan dilaksanakan.

Sehari sebelum tugas saya di Negara Uncle Sam ini tamat, ada beberapa media di Malaysia menghubungi saya meminta saya mengulas kenyataan yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming yang mendakwa saya gagal mengatur panggilan telefon antara Anwar dan Presiden AS, Donald Trump.

Saya sudah menjawab apa yang dibangkitkan oleh bekas Ahli Parlimen Bangi ini dan saya tidak akan mengulanginya.

Cuma saya nak sebutkan bahawa amat dangkal bila menganggap mengatur panggilan telefon antara Anwar dan Trump itu satu kepentingan.

Sepatutnya yang perlu diutamakan adalah nilai pelaburan syarikat-syarikat AS ke Malaysia. Tetapi mungkin untuk orang bijak seperti Kian Ming, perkara ini tidak penting.

Satu lagi perkara yang perlu Kian Ming faham adalah dengan ketegasan yang ditunjukkan Anwar dalam isu Palestin termasuk membuat kenyataan mengutuk tindakan AS, adakah pasukan Trump bersedia untuk memberi ruang untuk penggilan telefon.

Kian Ming juga perlu faham, jika kita beria-ia mahu supaya Anwar dapat bercakap melalui telefon dengan Trump, apa guna kenyataan-kenyataan tegas dalam isu Palestin yang dibuat sebelum ini?

Atau bagi Kian Ming isu Palestin ini tidak penting, yang lebih penting adalah bercakap dengan Trump.

Sepatutnya kita tidak boleh berkompromi dan mempertahankan pendirian kita dalam isu Palestin ini.

Namun yang menarik bagi saya dalam kenyataan yang dibuat oleh bekas yang Ahli Parlimen DAP yang bijak ini adalah dia menyenaraikan beberapa ciri yang perlu ada pada Duta Besar Malaysia ke AS.

Bekas pemimpin DAP itu berkata peranan Duta Besar Malaysia ke AS adalah penting, terutama dalam menghadapi pelbagai pengumuman dan perintah eksekutif yang ditandatangani Trump sejak kembali berkuasa.

Dia juga berkata Duta Besar Malaysia ke AS perlu mempunyai kemampuan berinteraksi secara terbuka dan tertutup dengan pemegang taruh utama dalam struktur kuasa negara itu, termasuk mewujudkan kedudukan menerusi media sosial.

Bila saya meneliti apa yang dicakapkan, boleh saya rumuskan bahawa sebenarnya bekas pemimpin DAP ini mahu memberitahu Anwar supaya mengambil dia untuk menjadi Duta Besar ke AS.

Nama-nama seperti Nurul Izzah Anwar, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Tan Sri Mohamed Nazri Abdul Razak dan Yusmadi Yussof adalah untuk mengaburi keinginan dia sendiri untuk mendapatkan jawatan tersebut.

Tak perlu lah bermain politik. Katakan lah sahaja yang anda mahukan jawatan itu. Itu lebih mudah dari sibuk mencari kelemahan dan kesalahan saya.

Sepanjang dua tahun menjadi duta, saya akui bahawa saya bukanlah yang terbaik dan tentunya saya mempunyai banyak kelemahan.

Namun sebelum mendapat jawatan ini saya tidak pernah membuat kenyataan dengan menyenaraikan kelemahan duta-duta sebelum ini.

Dan perlu ingat, saya tidak meminta jawatan ini tetapi nama saya dicadangkan oleh Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengenai seorang lagi makhluk Tuhan bernama Dennis Ignatius yang menggesa kerajaan memanggil balik saya kerana memegang plakad pro-Donald Trump baru-baru ini, saya rasa tidak perlu saya ulas apa yang diperkatakan oleh seorang yang telah hilang sense of humor.

Lagipun saya berpendapat tidak perlu untuk saya melayan individu yang saya dimaklumkan sering membuat kenyataan memburuk-burukkan nama Malaysia. Tidak guna melayan seorang pengkhianat.

Mohamed Nazri Abdul Aziz
Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat