PM seru semua pihak dukung usaha tegakkan keadilan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya mendukung segala usaha dalam memastikan keadilan ditegakkan, bermula dari dalam diri hinggalah kepada keadilan masyarakat sejagat termasuk warga Palestin.

“Maka, harus kita dukung sekalian usaha buat memastikan keadilan tertegak, bermula dari dalam diri hinggalah kepada keadilan masyarakat.

“Bebas al-Quds! Merdeka Palestin! Moga kezaliman tumpas dan umat terbela,” kata Anwar dalam perutusan bersempena sambutan Israk dan Mikraj 1445 Hijrah di Facebook hari ini.

Anwar berkata umat Islam dituntut agar istiqamah dalam mendirikan solat lima waktu, kasih dan ihsan terhadap fakir miskin serta membenam perilaku dusta dan nafsu serakah yang merupakan syarat bagi melonjakkan kebangkitan dan kemajuan bangsa.

Beliau berkata ia turut terpakai dalam hal yang menggusarkan dunia sekarang ini berkaitan pemerasan ke atas rakyat Palestin.

Justeru, Anwar berkata: “Iktibar Israk dan Mikraj malar segar dan harus diperingatkan agar umat waspada dan berubah, sementelahan pula Baitulmuqaddis di Palestin itulah jua asas kepada mikraj Baginda (Nabi Muhammad SAW) dalam pendakiannya menuju puncak cakerawala”.

“Tentunya Rasulullah SAW diberi keistimewaan luar biasa tatkala baginda dibawa menerobos langit malam bagi menerima perintah baru dari Yang Maha Esa, apatah lagi perjalanan itu sebagai mengubat hatinya yang pilu seusai pemergian suri hatinya Khadijah dan bapa saudara Abu Talib.

“Sementara perjalanan Israk dan Mikraj itu menjadi penguat keimanan terhadap kerasulan baginda, peristiwa itu juga mengungkap 1001 iktibar yang dipertontonkan terkait soal akidah dan akhlak bagi seorang hamba.

“Maka hampir wajib ibrahnya dibugar di sepanjang zaman,” katanya.

Selain daripada hantaran Perdana Menteri, Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook berkata Israk dan Mikraj adalah peristiwa besar dan bersejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW yang mesti diimani dan dipercayai.

Beliau berkata ia adalah mukjizat yang mengingatkan umat Islam terhadap keagungan Allah SWT serta keteladanan baginda Rasulullah SAW.

“Semoga peristiwa mulia ini memberi inspirasi kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan yang soleh dan memperkukuhkan tapak keimanan kita dalam menghadapi apa juga cabaran kehidupan.

“Selamat beribadah… salam Israk Mikraj,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat