Pelajar Buta Mata Kanan Terkena Serpihan Bunga Api

- Advertisement -

TANGKAK – “Kami khuatir dengan masa depan adik selepas disahkan buta mata kanan akibat terkena serpihan bunga api ketika menyertai tarian singa,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Ying, 26.

Ying berkata, adik lelakinya dikenali sebagai Hao yang berusia 18 tahun adalah salah seorang ahli kumpulan tarian singa dan kejadian berlaku apabila mangsa menyalakan bunga api sebagai sebahagian daripada persembahan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 30 Januari lalu di Tangkak ketika adiknya membuat persembahan di rumah terakhir kira-kira 1 pagi.

“Kami difahamkan ketika itu adik menyalakan bunga api tetapi tanpa diduga ia meletup sebaik dinyalakan dan kejadian mengakibatkan adik rebah dan mengalami kecederaan di wajah.

“Tuan rumah membawa adik ke Hospital Tangkak dan saya bergegas ke hospital selepas mendapat berita mengenainya jam 2 pagi.

“Selepas menjalani rawatan di situ, adik dirujuk ke Hospital Muar bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Saya difahamkan mata kanan adik termasuk bebola mata parah, malah doktor memaklumkan deria berkenaan tidak dapat berfungsi hampir sepenuhnya,” katanya.

Ying berkata, walaupun mata kiri adiknya selamat namun doktor menasihatkan supaya ia juga perlu dipantau.

“Kami masih terkilan dengan kejadian menimpa adik, kami bersyukur kerana semangatnya masih kuat dan dia tabah menghadapi musibah dialami.

“Adik menyatakan sekurang-kurangnya dia masih memiliki sebelah mata untuk melihat dunia namun sebagai ahli keluarga kami tetap berusaha dengan merujuknya menjalani pemeriksaan mata di sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur.

“Kami bukan orang senang, malah bapa baru kemalangan jalan raya, menyebabkan kami berdepan kesulitan menanggung kos perjalanan dan pemeriksaan kesihatan Hao.

“Kami berharap masih ada peluang bagi Hao demi masa depannya,” katanya yang dalam proses memohon kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi adiknya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga Hao boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Ying di 514301642327. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat