Omicron: Rayu Agong isytihar darurat tangguh PRN Johor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dirayu supaya mengisytiharkan darurat sekali lagi bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman yang menyatakan kebimbangan penularan varian Omicron.

“Atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk kebimbangan dari varian Omicron seperti yang dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, patik merayu ke Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor.

“Nyawa rakyat adalah segala-galanya, manakala mandat yang diberi rakyat boleh disekalikan dengan PRU-15,” cadang Mazlan dalam kenyataannya pada Isnin.

Menurut Mazlan, keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah langkah segera bagi mengekang Covid-19 yang kembali meningkat termasuk menghadkan pergerakan rakyat melalui SOP dan lain lain.

“Ianya (darurat) telah dilakukan terhadap PRN Sarawak, PRK Batu Sapi dan PRK Gerik atas alasan yang sama,” ujarnya.

Semalam Menteri Kesihatan mengumumkan Malaysia secara rasmi sudah berada sepenuhnya dalam gelombang baharu COVID-19 yang dicetuskan varian Omicron, dengan kes harian kini melonjak melebihi 10,000.

Khairy menjangkakan jumlah kes harian akan terus meloncak dan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

Berikutan serangan Omicron ketika ini, beliau melahirkan kebimbangan terhadap sekitar satu juta warga emas yang belum mendapatkan dos penggalak, sekali gus berisiko mendapatkan komplikasi serius jika dijangkiti varian baharu Covid-19 itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai untuk segera memaklumkan kepada golongan warga emas dalam keluarga masing-masing untuk segera mendapatkan dos penggalak, bagi melindungi golongan itu daripada kesan buruk Omicron.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat