Pengeluaran KWSP masih gagal selesai masalah kewangan – DPMM

- Advertisement -

PETALING JAYA: Langkah membenarkan lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sahaja boleh menambah beban derita masa depan pencarum, malah dilihat masih gagal menyelesaikan masalah kewangan seperti mana pengeluaran sebelum ini.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Halim Husin menjelaskan, selain bencana alam, isu jauh lebih besar dan berupaya memusnahkan kehidupan rakyat adalah krisis kemiskinan pada usia persaraan memandangkan pada hari ini lebih 80 peratus pencarum aktif mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.
Katanya, membenarkan pengeluaran juga tidak akan membantu golongan Bumiputera kerana walaupun daripada segi bilangan mereka adalah kumpulan pencarum terbesar KWSP, tetapi daripada segi nilai tabungan bukanlah kumpulan sasar yang dapat dibantu dengan inisiatif berkenaan.

“Lebih memburukkan keadaan, pengeluaran tabung amanah simpanan atau pelaburan seperti KWSP berkali-kali sebelum tiba waktu matang iaitu apabila pencarum mencapai umur persaraan tentunya akan memberi tekanan untuk melabur secara lebih terancang di samping menyukarkan untuk menjanjikan pulangan dividen lebih baik kepada pelabur.

“Sebenarnya memang sudah ada kebijaksanaan kerajaan dan KWSP dalam menguatkuasakan larangan mengeluarkan simpanan sebelum bersara. Kita sedia maklum bagaimana KWSP telah memberikan banyak kelonggaran apabila memecahkan simpanan pencarum kepada tiga akaun untuk memberi fleksibiliti pengeluaran bagi membiayai untuk keperluan mendesak dan asasi tanpa mengganggu simpanan daripada Akaun 1.

“Meneruskan kehidupan selesa selepas tempoh bersara adalah cita-cita setiap warga Malaysia. Tiada ada sesiapa mahu bekerja membanting tulang seluruh hidupnya dengan kenaikan kos sara hidup, kos penjagaan kesihatan serta purata usia semakin panjang, maka tabung simpanan KWSP adalah satu-satu harapan buat bakal pesara mesti dijaga dan dipertahankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau lagi, pihaknya mahu kerajaan agar lebih tekad dan berani dalam melaksanakan langkah-langkah pre-emptive yang lebih drastik seperti mewujudkan Skim Pencen Universal serta kajian semula tahap gaji nasional bagi mendepani krisis ekonomi selepas bersara yang dijangka telah pun bermula.

“Akhir sekali, DPMM ingin mengulangi desakannya kepada kerajaan untuk menubuh sekaligus menguatkuasakan program Dana Rakyat yang berteraskan konsep wakaf bagi membantu menyediakan modal pusingan munasabah buat usahawan yang terjejas oleh bencana berganda negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Halim menambah, pelbagai kaedah bantuan mesti dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan mestilah tidak meletakkan beban tersebut kepada rakyat yang telah banyak berkorban setelah berhadapan segala keperitan dan kemusnahan akibat bencana dan pandemik selama ini.

Justeru kata beliau, bantuan tunai atau pinjaman tanpa faedah sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta pelaksanaan moratorium automatik rentas agensi oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar harus dipuji dengan gesaan agar kaedah pelaksanaannya dapat dipermudahkan lagi.

“DPMM dengan ini merumuskan bahawa pengeluaran wang simpanan persaraan oleh KWSP tidak boleh lagi diteruskan kerana ia tidak lagi realistik disamping mendesak kerajaan untuk menggandakan pelbagai bentuk bantuan serta pengecualian kepada setiap individu serta isi rumah tanpa perlu bertangguh lagi.

“Lebih penting lagi untuk tidak membenarkan sebarang bentuk eksploitasi terhadap kesengsaraan orang-ramai demi meraih markah politik yang jelek,” ujarnya.

– UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,613FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat