Sirul mungkin ditahan semula selepas Australia pinda undang-undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 dan kini melarikan diri ke Australia, dijadikan contoh oleh pemantau undang-undang dalam kritikan terhadap pindaan akta imigresen di negara itu.

Ini kerana susulan pindaan undang-undang itu yang sudah diluluskan dan akan berkuat kuasa mulai tahun depan, Sirul Azhar yang kini bebas selepas tamat tempoh tahanan imigresen, boleh ditahan semula di dalam penjara dengan perintah mahkamah.

Portal berita, The Sydney Morning Herald, melaporkan pindaan undang-undang itu membolehkan kerajaan Australia memohon mengembalikan bekas tahanan sehingga tiga tahun lagi, sekiranya sebelum ini mereka disabitkan dengan jenayah kekerasan atau seksual.

Apabila dilaksana, ia juga terpakai kepada individu yang disabitkan kesalahan sama di luar negara, walaupun ketika ini undang-undang itu dikritik kerana tidak selari perundangan sedia ada.

Bekas Pemantau Bebas Undang-Undang Keselamatan Kebangsaan, Grant Donaldson, membangkitkan keberadaan Sirul Azhar di Australian Capital Territory (ACT), yang dibebaskan daripada tahanan imigresen, namun tidak mempunyai sabitan kesalahan jenayah lain di Australia.

“Salah seorang daripada mereka ialah Sirul Azhar Umar, yang melarikan diri ke Australia selepas disabitkan pembunuhan wanita hamil, tetapi dibebaskan daripada tahanan imigresen dan bebas di Australian Capital Territory (ACT), tanpa rejim penahanan pencegahan. Dia juga berdepan hukuman mati di Malaysia.

“Undang-undang negeri (Australia) tidak terpakai kepadanya – tiada satu pun daripada kerana dia tidak melakukan kesalahan jenayah di Australia,” katanya.

Donaldson berpandangan, Mahkamah Australia tidak boleh mengenakan perintah tahanan kepada sesiapa, kecuali ada bukti kukuh mengenai risiko berlakunya jenayah,

“Adalah satu perkara yang luar biasa untuk menahan seseorang di penjara selepas tempoh (selesai tahanan), malah meletakkan kembali seseorang dalam penjara hanya kerana risiko mereka mungkin melakukan kesalahan pada masa hadapan, tidak pernah berlaku dan diharapkan tidak akan berlaku,” tegasnya.

Donaldson juga berkata, rang undang-undang yang diluluskan kerajaan pimpinan Anthony Albanese, kini menimbulkan ketakutan terhadap penahanan semula tahanan imigresen.

“Saya rasa ia memalukan bagi kerajaan dan pembangkang. Mereka harus malu dengan diri mereka sendiri

“Mereka mencipta ketakutan dan histeria dalam masyarakat apabila langkah itu sama sekali tidak wajar. Persepsi yang mereka cipta ialah anda mempunyai gerombolan Attila the Hun (tentera kejam) yang dibebaskan daripada tahanan imigresen dan mereka merogol dan merompak orang dalam komuniti itu,” kata Donaldson, yang juga peguam cara negara untuk Australia Barat antara 2012 dan 2016.

Bulan lalu, parti pemerintah dan pembangkang bekerjasama meluluskan undang-undang mewajibkan bekas tahanan memakai peranti pemantauan elektronik di buku lali dan mematuhi perintah berkurung yang ketat, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai sabitan jenayah.

Sirul Azhar adalah di antara individu yang dilengkapi dengan alat pemantauan elektronik, dikenakan perintah berkurung, dan perlu melaporkan kepada polis secara berkala.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat