KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berharap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus ‘kekal’ memimpin Umno sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sindiran Ahmad Fadhli itu hadir selepas Presiden Umno berkenaan menegaskan tidak ada peningkatan sokongan kepada calon PAS dalam PRK Kemaman baru-baru ini.
“Bila membaca komen Presiden Umno tentang keputusan PRK Kemaman ini, saya ingin mengajak semua agar marilah kita sama-sama berdoa supaya Datuk Seri Zahid Hamidi terus kekal memimpin Umno sehingga PRU akan datang.
“Kawan-kawan dalam Umno tentu setuju dengan saya,” bidas beliau.
Baru -baru ini, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak ada peningkatan sokongan kepada calon Pas di dalam PRK Kemaman Sabtu lalu.
Sebaliknya, beliau berkata, terdapat kekurangan pengundi putih Umno sebanyak 10,000.
“Oleh sebab itu apabila hanya 68.3 peratus sahaja pengundi putih Umno yang keluar mengundi, maka ia nya telah menyumbang kepada majoriti yang bertambah kerana pengundi kita tidak keluar,” katanya menerusi sidang akhbar Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023- 2030.
Menurut beliau, kemenangan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tidak boleh dianggap sebagai referendum kerana ia suatu kempompong yang kecil.
Sebelum itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan menyifatkan kemenangan Samsuri itu membuktikan referendum rakyat terus berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Takiyudin turut mengesahkan momentum sokongan menaik kepada PN dalam beberapa siri PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk di Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Pelangai.