KUALA LUMPUR – Persoalan utama timbul berhubung kes ‘kehilangan’ Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat sama ada hilang atau dihilangkan.
Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin mempertikai apabila keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi kepada isteri aktivis sosial, Amri Che Mat dan keluarga Pastor Raymond Koh.
Dalam keputusan berasingan, hakim memerintahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi kira-kira RM31 juta kepada keluarga Pastor Raymond Koh selepas mendapati kedua-dua pihak terbabit dalam penculikannya yang berlaku 8 tahun lalu. Mahkamah mengarahkan kerajaan membayar pampasan berjumlah RM10,000 sehari bermula dari tarikh kehilangan Raymond pada 13 Februari 2017 sehingga tarikh polis mendedahkan keberadaannya.
Manakala kelmarin, Mahkamah Tinggi memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri pada 24 November 2016, serta mengarahkan pembayaran ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 kepada isterinya, Norhayati Mohd Ariffin. Ganti rugi itu merangkumi ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, ganti rugi khas RM14,457.52 dan kos prosiding RM250,000, selain faedah yang turut diberikan kepada plaintif.
“Mahkamah arah kerajaan dan PDRM bayar ganti rugi dan denda. Yang buat tak betul atau buat salah adalah polis dan kerajaan.
“Bila dihukum bayar ganti rugi berpuluh-puluh juta ringgit, bukan polis atau kerajaan yang tanggung, yang tanggung adalah rakyat jelata yang bayar cukai.
“Amri Che Mat hilang (atau dihilangkan) pada tahun 2016 dan Koh Keng Joo pada tahun 2017,” kata A Kadir.



