Lanjutkan beri mandat kepada GRS agar pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 diteruskan, rayu Hajiji

KUALA LUMPUR – Rakyat Sabah diminta terus memberi mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bagi membolehkan program pembangunan dirancang dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) diteruskan .

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata mandat baharu itu penting demi kesinambungan, malah memastikan pembangunan negeri lebih rancak di bawah SMJ 2.0.

SMJ 1.0 bermula 2021 merekodkan pencapaian membanggakan dari segi pelaksanaan pelbagai inisiatif digariskan oleh kerajaan yang hasilnya sudah kelihatan dan dinikmati rakyat.

“Berikan mandat baharu dan kami akan meneruskan pembangunan lebih rancak di bawah Hala Tuju SMJ 2.0 untuk Sabah.

“Lebih banyak akan dilaksanakan untuk kesinambungan pembangunan negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategi Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok bertempat di Tapak Tamu Pekan Menumbok, lapor BH di Sabah pada Khamis.

Hajiji mengingatkan rakyat Sabah tidak terpengaruh retorik pemimpin parti lawan yang sering menghentam kerajaan pimpinan GRS dengan pelbagai tuduhan tidak berasas, termasuk didakwa kerajaan gagal.

Sebaliknya, beliau meminta rakyat Sabah melihat kejayaan dilakar GRS sepanjang lima tahun lalu dalam memulihkan ekonomi selepas pandemik COVID-19 dan berdepan ketidakstabilan politik sejak mula mengambil alih kerajaan lima tahun lalu.

“Kita beri tumpuan bantu rakyat kita, sedangkan yang lain hanya pandai cakap bohong, fitnah dan pandai janji bermacam-macam tapi tiada hasilnya, itu kerja mereka (parti lawan).

“Jadi jangan kita terpengaruh. Mereka sudah diberi peluang lama dalam kerajaan terdahulu, malah pernah menjadi menteri bertahun-tahun, tapi apa yang mereka buat,” katanya.

Hasil dicapai kerajaan negeri di bawah GRS, kata Hajiji menyuntik kemasukan ramai pelabur dalam dan luar negara hasil pendekatan mesra pelabur dilaksanakan.

“Puluhan syarikat tempatan dan luar negara datang melabur dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan di Sabah yang bukan saja dapat melonjak ekonomi, malah membuka banyak peluang pekerjaan.

“Kita juga bantu rakyat susah di kampung sebab apabila kita dapat kutip hasil yang banyak kita kembalikan kepada rakyat dan tahun ini kira-kira 100,000 rakyat miskin dapat bantuan RM300 sebulan.

“Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, kita bantu 70,000 orang termasuk orang kelainan upaya (OKU) dan orang tua untuk bantuan bulanan, sebelum ini hanya 30,000 orang.

“Tidak cukup itu, kita bagi Rumah Mesra SMJ… tahun ini saja kita bagi 40 rumah SMJ dan tahun depan tambah lagi jadi 50, termasuk 10 untuk orang muda baru kahwin yang tidak mampu dan tinggal bersama ibu bapa dalam satu rumah, ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sektor pendidikan juga diberi keutamaan dengan memberikan peruntukan besar dengan perbelanjaan mencecah RM1.3 bilion sejak lima tahun lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat