Muhyiddin akan serah jawatan kepada saya, bila itu belum tahu- Hamzah

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhasrat menyerahkan jawatan tertinggi parti itu kepadanya apabila beliau berundur nanti.

“Umum diketahui bahawa presiden (Muhyiddin) mahu serahkan ‘baton’ kepada saya apabila beliau bersedia,” kata timbalan presiden Bersatu itu dalam wawancara bersama BFM baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, persoalan mengenai bila peralihan kepimpinan itu akan berlaku terserah sepenuhnya kepada Muhyiddin, menyamakannya dengan acara lari berganti-ganti.

“Persoalannya adalah peralihan, dan itu bergantung kepada presiden, bila beliau mahu serahkan ‘baton’ itu,” katanya lapor FMT.

“Bagi saya, terpulang kepadanya (Muhyiddin). Seperti lari berganti-ganti 4×100, mungkin saya pelari kedua dan beliau yang pertama. Saya hanya menunggu (selagi beliau presiden). Sebaik sahaja beliau serahkan ‘baton’, saya akan ambil dan lari.”

Beliau mengulas soalan sama ada terdapat perbincangan dengan Muhyiddin untuk beliau mengambil alih pucuk pimpinan Bersatu.

Hamzah sekali lagi menegaskan sokongan tidak berbelah bahaginya kepada Muhyiddin sebagai presiden Bersatu, sepertimana yang dizahirkan dalam ucapannya pada perhimpunan agung tahunan parti baru-baru ini.

“Tidak sepatutnya timbul lagi sebarang persoalan kerana saya telah beri sokongan penuh kepada presiden saya,” katanya.

Mengulas dakwaan wujudnya ‘pembersihan politik’ dalam Bersatu susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Hamzah menyifatkannya sekadar pertelingkahan dalaman yang biasa berlaku dalam mana-mana parti politik.

“Saya harap perbalahan politik dalaman mengenai kepimpinan (parti) akan segera berakhir, tidak berlarutan,” kata Hamzah.

Berhubung spekulasi wujudnya tiga kem berbeza berpihak kepada Muhyiddin, Setiausaha Agung Datuk Seri Azmin Ali dan dirinya sendiri, Hamzah berkata, ini hanya membuktikan Bersatu mempunyai barisan pemimpin yang berkaliber.

“Saya gembira kerana ia membuktikan adanya pemimpin dalam Bersatu yang diiktiraf rakyat,” katanya.

Ketegangan dalam Bersatu semakin memuncak susulan tindakan disiplin terhadap Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal, di tengah-tengah perebutan kuasa yang jelas antara Muhyiddin dan Hamzah.

Lembaga disiplin Bersatu turut memecat empat ketua bahagian, iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya); Faizal Asmar (Pengerang); Fadhli Ismail (Ipoh Timur); dan Isa Saidi (Ampang).

Wan Saiful sebelum ini menuduh beberapa individu yang rapat dengan Muhyiddin menjadi punca keretakan hubungan dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti, menamakan Azmin dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam pada itu, Muhyiddin berdepan gesaan agar meletak jawatan presiden, termasuk daripada Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat