TAMBUN, – Kelab Transformasi Anak Muda (TEAM) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan untuk memperkenalkan silibus bahasa isyarat di sekolah dalam usaha memperkasakan komunikasi inklusif antara masyarakat umum dan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
Komitmen itu dizahirkan melalui penganjuran program “SIGN UP! Kelas Asas Bahasa Isyarat Sempena Hari Bahasa Isyarat Sedunia 2025” yang berlangsung di Dewan dan Perpustakaan Komuniti Tambun. Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun dan MAYC Tambun.
Inisiatif ini berjaya menarik penyertaan pelajar daripada Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) serta masyarakat setempat yang berminat mempelajari asas komunikasi menggunakan tangan.
Menurut Presiden TEAM, Megat Dzul Megat Muzaffar, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya memahami asas bahasa isyarat bagi merapatkan jurang komunikasi dengan golongan OKU pendengaran.
Kami percaya penguasaan asas bahasa isyarat merupakan langkah kecil namun signifikan dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif,” katanya.
Sehubungan itu, TEAM menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai subjek elektif di sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memperluas akses pembelajaran komunikasi alternatif.
TEAM turut menyatakan komitmen untuk terus menganjurkan program kesedaran dan latihan inklusif selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta seruan antarabangsa di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan).



