KUALA LUMPUR – Persoalan berbaloikah bayar RM25,700 sebulan kepada ahli Parlimen anda, agaknya ia bergantung kepada nilai yang dibawa oleh ahli Parlimen tersebut berdasarkan fungsi yang patut mereka mainkan.
Justeru Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, beliau kurang bersetuju kalau pengukur prestasi utama atau key performance indicator (KPI) seorang Ahli Parlimen ialah berapa banyak kenduri yang dihadiri, atau berapa banyak kali tunjuk muka merasmikan acara.
“Saya sama sekali tidak bersetuju jika dikatakan mutu ahli Parlimen itu diukur atas persembahannya di Parlimen semata-mata kerana itu adalah yang paling minima.
“Yang sama penting ialah kerajinan, kemampuan dan keberkesanan memainkan peranan sebagai suara rakyat dalam perkara-perkara yang ada kesan kepada rakyat.
“Sebab itu juga saya kurang bersetuju kalau KPI seorang Ahli Parlimen ialah berapa banyak kenduri yang dihadiri, atau berapa banyak kali tunjuk muka merasmikan acara.
“Jadi kepada persoalan berbaloikah bayar RM25,700 sebulan kepada Ahli Parlimen anda, agaknya ia bergantung kepada nilai yang dibawa oleh Ahli Parlimen tersebut berdasarkan fungsi yang patut mereka mainkan,” katanya.
Menurut beliau lagi, kalau ada satu perkara yang lebih dari 90 peratus rakyat Malaysia sependapat, ialah gaji dan elaun ahli Parlimen terlalu tinggi.
“Baru-baru ini, saya kongsi slip gaji sebagai Ahli Parlimen. Gaji pokok RM16,000 dan elaun RM9,700, jumlah gaji dan elaun bulanan adalah RM25,700.
“Ada dua saja pandangan yang dominan. Paling dominan, pandangan bahawa ahli Parlimen makan gaji buta dan dibayar terlalu tinggi.
“Ada satu lagi pandangan minoriti ialah gaji ahli Parlimen adalah berpatutan, malah rendah berbanding dengan gaji di sektor swasta, yang mana pengurusan pertengahan pun dibayar lebih RM20,000 sebulan.
“Bagi saya, sebelum kita boleh nilai gaji itu tinggi atau rendah, kita kena nilai dulu apa sebenarnya kerja yang perlu dibuat. Jadi sebenarnya, apa kerja Ahli Parlimen ni? Jawapan standard ialah Ahli Parlimen buat undang-undang. Tapi betul ke Ahli Parlimen di Malaysia ni kerjanya buat undang-undang? katanya.
Rafizi menjelaskan, oleh kerana Malaysia mewarisi sistem Parlimen Westminster, sebenarnya Ahli Parlimen Malaysia tidak membuat undang-undang.
Katanya, undang-undang dibuat oleh kerajaan melalui Jemaah Menteri atau Kabinet. Ini berbeza dari sistem di Amerika Syarikat, yang mana kuasa membuat undang-undang itu benar-benar berada di tangan ahli parlimen, iaitu Ahli Kongres atau Ahli Senat.
“Mereka akan mencadangkan undang-undang, kemudian melalui proses semakan di Jawatankuasa Parlimen, dipinda di peringkat mereka, dibahaskan di Kongres dan Senat, kemudian menjadi undang-undang. Cabang eksekutif yang diketuai oleh Presiden hanya melaksanakan.
“Jika pun Presiden atau cabang eksekutif hendak memperkenalkan undang-undang, cadangan undang-undang itu mesti diperkenalkan oleh ahli Parlimen dan melalui proses yang sama.
“Tetapi kita mengikuti sistem Westminster, yang mana ahli Parlimen perlu menurut keputusan parti dan mengundi mengikut arahan parti. Draf undang-undang pula hanya diperkenalkan oleh kerajaan dan dibuat oleh penjawat awam.
“Bila sampai ke Parlimen, paling hebat pun boleh bercakap sana sini tetapi akan tetap diluluskan kerana kerajaan sudah tentu ada majoriti di Parlimen dan ahli parlimen kerajaan wajib menyokong akta yang dicadang kerajaan itu.
“Keadaan lebih baik sedikit sekarang berbanding di zaman BN semasa saya mula-mula menjadi ahli Parlimen. Paling kurang, sekarang ada Select Committee atau JK Terpilih Parlimen yang sepatutnya menyemak dahulu draf undang-undang dari kerajaan untuk diberi maklum balas, sebelum dibentangkan pada bacaan kedua untuk diundi.
“Dulu zaman BN, langsung tak ada dan apa-apa yang Perdana Menteri nak, memang jadi undang-undang,” ujarnya.
Jadi apabila Ahli Parlimen di Malaysia bukanlah sebenarnya ada kuasa buat undang-undang, apa fungsi Ahli Parlimen?
“Bagi saya, Ahli Parlimen atau ADUN ini adalah wakil rakyat. Maka tugasnya adalah menjadi suara rakyat dalam beberapa aspek. Contohnya, menjadi suara rakyat menghubungkan dengan jabatan-jabatan kerajaan agar kes rakyat atau pandangan rakyat diambil kira, atau membela rakyat dalam kes yang rakyat menjadi mangsa.
“Satu lagi contoh, menjadi suara rakyat membawa isu-isu yang ada kesan besar kepada rakyat.
“Satu lagi contoh, menjadi suara rakyat membawa idea-idea yang boleh membawa perubahan dalam masyarakat dan negara untuk kebaikan rakyat.
“Sebagai rakyat biasa, saya menilai mutu seseorang Ahli Parlimen itu berdasarkan perkara-perkara tersebut,” katanya.



