Delegasi Hamas tiba di Mesir bincang pelan damai Trump

KAHERAH – Pemimpin kumpulan Hamas tiba di Mesir semalam bagi menghadiri rundingan dengan Israel yang disifatkan Amerika Syarikat (AS) sebagai detik penentu dalam usaha menghentikan pertempuran di Gaza serta membebaskan baki tebusan.

Delegasi Hamas diketuai Ketua Hamas di Gaza Khalil Al-Hayya, tiba di Kaherah lewat malam Ahad untuk menyertai wakil AS dan Qatar dalam rundingan pelaksanaan pelan damai yang digerakkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Rundingan akan berlangsung di Sharm El-Sheikh, pusat peranginan Laut Merah di Mesir, dengan pasukan perunding Israel diketuai Menteri Hal Ehwal Strategik Ron Dermer dijadual berangkat hari ini.

Menurut Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, tempoh beberapa hari akan datang adalah amat kritikal bagi menentukan sama ada Hamas benar-benar komited atau sebaliknya.

“Kita akan tahu dengan cepat sama ada Hamas serius berdasarkan perjalanan rundingan teknikal berhubung urusan logistik pembebasan baki 48 tebusan di Gaza, termasuk 20 yang masih hidup,” katanya dalam program Meet the Press terbitan NBC News semalam.

Sementara itu, Trump dalam kenyataan di media sosial pula berkata rundingan berjalan pantas dan fasa pertama pertukaran tebusan dengan tahanan Palestin dijangka selesai dalam minggu ini.

“Saya telah dimaklumkan bahawa fasa pertama hampir selesai, dan saya menggesa semua pihak untuk bergerak pantas,” lapor Agensi.

Lawatan Al-Hayya ke Mesir merupakan yang pertama sejak beliau terselamat daripada serangan udara Israel di Doha bulan lalu.

Pelan damai 20 perkara yang dikemukakan Trump bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza, memastikan pembebasan tebusan serta menetapkan hala tuju politik wilayah itu.

Kedua-dua Israel dan Hamas telah bersetuju terhadap beberapa komponen pelan tersebut.

Pada Jumaat lalu, Hamas bersetuju dengan pelan pertukaran tebusan serta beberapa elemen lain, namun menolak tuntutan pelucutan senjata, satu isu yang terus menjadi batu penghalang utama.

Trump menyambut baik keputusan Hamas itu dan menyifatkannya sebagai tanda kumpulan tersebut bersedia untuk keamanan berkekalan serta turut menggesa Israel menghentikan serangan ke atas Gaza serta-merta, namun serangan tetap diteruskan.

Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, serta menculik 251 individu.

Sejak itu, lebih 67,000 penduduk Gaza terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut data Kementerian Kesihatan Gaza, sekali gus menyebabkan Israel semakin diasingkan oleh masyarakat antarabangsa.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat