Tabiat membaca, satu budaya hidup murni – Aaron

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan meneliti dan melaksanakan beberapa cadangan yang telah dikemukakan melalui Kajian Profil Membaca 2022/2023.

Antara dua cadangan utama tersebut adalah mewujudkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) untuk memantau tahap membaca rakyat Malaysia secara menyeluruh mulai 2025-2030.

Selain itu, program penebusan baucar buku diadakan kembali bagi merancakkan minat serta budaya membaca rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis Karnival Baca Perdana 2024 di Pusat Beli Belah MyTOWN (MyTOWNKL), dekat sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha KPN, Datuk Seri Hasnol Zam-Zam Hj. Ahmad yang merasmikan majlis tersebut bagi pihaknya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara (PNM), Salasiah Abdul Wahab dan Pengurus Besar MyTOWNKL, Mohd Azhan Che Mat.

Aaron berkata, program anjuran KPN melalui PNM diadakan untuk mempromosikan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyatukan komuniti dalam sebuah karnival yang bukan sahaja memberikan fokus pada pembudayaan membaca tetapi juga mengandungi elemen perpaduan dan semangat komuniti.

Tema “Perpaduan dalam Pembacaan” dipilih untuk karnival ini di mana buku dan bahan bacaan menjadi jambatan yang menghubungkan individu, memupuk perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Kehadiran pengunjung ke karnival ini adalah manifestasi sokongan padu terhadap usaha kementerian untuk membudayakan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia sebagai satu budaya hidup yang murni.

“Ianya bukan sahaja merupakan satu perayaan ilmu, tetapi juga satu platform yang efektif untuk mendekatkan buku dan ilmu kepada masyarakat.

“Sepanjang tempoh karnival ini dilaksanakan, PNM telah merancang lebih 20 program yang menarik dan meliputi segenap lapisan masyarakat yang pastinya memberi pengalaman sekaligus menambah ilmu pembacaan.

“Antaranya, Bicara Intelektual 2024: Demi Masa Depan Kita Bersama, Sesi Lensa Sastera: Idea Tular Penulisan Popular, Sesi Booktubers & Bookstagrammers: Bicara Penulisan Buku Melalui Media Sosial, Forum Membaca Perdana: Simfoni Perpaduan Melalui Pembacaan, Sesi Bacaan Kegemaran Saya,

Selain itu, Podcast Borak Pustakawan: Memoirs Dari Rak – Cerita Pustakawan, Minggu Literasi Maklumat, Singgah Santai@PNM 2024 dan Technology Talk Convergence: Metaconnect Pioneering The Infinite Library Experience,”katanya.

“Kementerian melalui PNM telah melaksanakan beberapa siri Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia bagi melihat kadar pembacaan dan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Melalui kajian tersebut didapati, rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya 2 naskhah (tahun 2005),15 naskhah (tahun 2014) dan terkini adalah 24 naskhah (tahun 2023).

“Merujuk kepada Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023, didapati bahawa 69.9% rakyat Malaysia membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, ”katanya lagi.

“PNM akan melaksanakan lebih banyak program berbentuk aktiviti sosial menjelang tahun 2025 dengan mensasarkan penyertaan masyarakat dari pelbagai latar belakang dalam konteks Malaysia Madani .

“Selain itu, kementerian juga akan melantik Tokoh Pembaca Kebangsaan mulai tahun hadapan,”ujarnya.

“Penganjuran program ini menjadi platform yang berkesan untuk menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Seterusnya, bertindak sebagai medium menyatupadukan masyarakat serta dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pembacaan dan memupuk semangat cintakan ilmu, ”ujarnya lagi.- SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat