ARMADA Bersatu Sedia Pimpin Gelombang Perubahan, Hilman Tegaskan “Pantang Surut ke Belakang”

KUALA LUMPUR, – Ketua ARMADA Bersatu Malaysia, YB Muhammad Hilman Idham menegaskan sayap pemuda parti itu kini tampil sebagai gerakan yang matang, berdisiplin dan bersedia menjadi teraju utama dalam memimpin perubahan politik tanah air.

Dalam ucapan dasarnya bertemakan “Berjuang Demi Rakyat, Bersatu Untuk Malaysia” sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025, Hilman menekankan bahawa ARMADA bukan lagi sekadar sayap pelengkap, sebaliknya merupakan jentera penggerak utama yang bakal menentukan arah perjuangan parti.

“Ini ARMADA. Sekali layar terkembang, pantang surut ke belakang,” tegas beliau disambut sorakan perwakilan.

Seruan Kepada Pemuda: “ARMADA Bukan Budak Suruhan”

Hilman mengingatkan seluruh kepimpinan dan anggota ARMADA agar mandiri, tidak terikat dengan budaya politik lama, serta menolak politik intrik.

“ARMADA adalah anak muda yang merdeka. Semangat dan jiwa kita tak boleh diperhambakan. ARMADA bukan budak-budak, apalagi menjadi budak suruhan,” katanya.

Gelombang Kebangkitan Anak Muda

Mengimbas peristiwa Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu, Hilman menyifatkan ia sebagai gelombang besar kebangkitan rakyat khususnya anak muda yang menolak kerajaan Madani.

Beliau turut menyanjung keberanian aktivis muda termasuk Chegu Bard, Syafiq Aziz dan Furqan Hakimi yang ditahan pihak berkuasa, sambil menegaskan bahawa perjuangan mereka akan terus dipertahankan.

Kritikan Terhadap Kerajaan Madani

Dalam ucapannya, Hilman mengkritik dasar ekonomi kerajaan yang dianggap flip-flop termasuk kecenderungan untuk menyertai BRICS berbanding memperkasa perjanjian perdagangan seperti RCEP dan CPTPP.

Beliau turut menyelar isu kemasukan pelajar asing di universiti awam, dakwaan kelemahan dalam RUU Perolehan, serta cadangan RUU Pembaharuan Semula Bandar yang menurutnya hanya menguntungkan pemaju.

“Ini namanya reformasi taik kucing!” sindir Hilman ketika menyentuh isu rundingan terus dalam perolehan kerajaan.

Agenda Ekonomi Generasi Muda

Sebagai tawaran alternatif, Hilman mengumumkan cadangan penubuhan sebuah suruhanjaya khusus bagi industri gig yang dilengkapi dana perlindungan sosial, di samping dasar gaji minima graduan untuk menjamin nasib lepasan universiti.

ARMADA juga akan menubuhkan Majlis Perundingan Kebijakan yang menghimpunkan anak muda profesional bagi membentuk polisi baharu untuk negara.

Muafakat Agung & Kemenangan Rakyat

Menutup ucapannya, Hilman menegaskan keperluan membentuk sebuah grand coalition atau muafakat agung bersama parti-parti lain yang berkongsi agenda perjuangan, sambil menzahirkan keyakinan bahawa rakyat akan memilih Perikatan Nasional dalam PRU akan datang.

“Pertarungan kali ini adalah di antara rakyat dan elit penguasa. Saya optimis, kemenangan akan bersama rakyat. Yakinlah, rakyat pasti menang!” katanya sebelum melaungkan slogan “Hidup ARMADA, Hidup Rakyat, Hidup Perjuangan.”

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat