SHAH ALAM — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan perjuangan parti akan bermula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai medan awal sebelum bergerak ke Melaka dan Johor pada tahun depan.
Beliau berkata langkah itu menjadi pemangkin kepada kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang disifatkan sebagai pertarungan penentu masa depan bangsa dan negara.
“Kita mulakan di Sabah, tahun depan di Melaka dan Johor, insya-Allah seluruh negara akan bersama kita.
“Daripada bumi Sabah inilah kita nyalakan semangat perjuangan, dan dari sana gelombang perubahan akan bergerak ke seluruh tanah air,” katanya.
“Marilah kita satukan hati, bangkit berjuang, dan pastikan kemenangan menjadi milik kita.
“Tiada jalan lain untuk menyelamatkan bangsa ini selain daripada kita bersatu teguh dan tidak gentar menghadapi cabaran,” tegasnya.
Berucap ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan Sayap-Sayap BERSATU 2025 di IDCC Shah Alam, Hamzah menegaskan PRU-16 bukan sekadar pilihan raya, tetapi medan penentu maruah bangsa dan hala tuju negara yang menuntut pengorbanan daripada seluruh pimpinan serta ahli.
“Kita bukan pengecut. Kita adalah pejuang yang menentang kezaliman, kita adalah harapan rakyat.
“BERSATU mesti sentiasa bersiap siaga kerana PRU-16 adalah kemuncak pertarungan yang menentukan nasib anak bangsa.
“Setiap ahli mesti rela berkorban demi memastikan perjuangan ini tidak terkubur,” katanya.
Dalam ucapannya bertajuk “Menjunjung Amanah, Memperkasa Ummah”, beliau menekankan keperluan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) menjadi nakhoda politik abad ke-21 dengan pendekatan lebih inklusif serta berani membawa pembaharuan.
“Kita tidak boleh terperangkap dengan ketidakpastian masa depan. Kitalah yang mesti menentukan acuan dan haluan politik baharu negara.
“Setiap daripada kita mesti menjadi juara denyut nadi dan hati nurani rakyat,” jelas beliau.
Hamzah turut menegaskan keyakinan rakyat hanya dapat dipulihkan jika PN mengangkat idealisme segar berasaskan integriti dan daya tahan untuk kembali menerajui negara.
“Rakyat sedang mencari alternatif, dan PN adalah pilihan yang lebih baik.
“Kita akan buktikan bahawa BERSATU adalah parti masa depan, bukan sekadar bayangan masa lalu,” ujarnya.
Beliau juga menitipkan pesanan kepada sayap-sayap parti agar memperkukuh barisan serta memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi cabaran politik mendatang.
“Armada mesti tampil sebagai pendekar berani, Srikandi perlu memperkukuh jalinan rakyat, manakala Srikandi Muda adalah cahaya baharu anak muda,” katanya.
“Bersekutu pula mesti merangkul sokongan bukan Melayu-Bumiputera agar perjuangan kita benar-benar inklusif,” katanya.
Dalam ucapannya, Hamzah turut mengkritik pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya gagal menguruskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“FDI bersih negara menjunam 83 peratus pada suku kedua 2025, manakala imbangan akaun semasa jatuh ke paras terendah dalam 28 tahun.
“Ini bukti jelas bahawa kerajaan Madani gagal membela rakyat,” tambahnya.
Beliau berkata tindakan kerajaan menjual aset strategik negara dan membiarkan isu rasuah berleluasa hanya menjejaskan lagi kepentingan rakyat.
“MAHB dijual kepada syarikat asing, kos sara hidup terus menekan rakyat.
“Segala ini adalah kegagalan Anwar sebagai Perdana Menteri,” tegasnya.
Sebagai alternatif, Hamzah memperkenalkan gagasan Konsensus Nasional yang ditawarkan PN sebagai usaha merangka semula politik negara, dengan menekankan tiga prinsip utama iaitu matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus berprihatin.
“Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita tawarkan pelan realistik dan lebih baik.
“Konsensus Nasional ini adalah kunci untuk membina semula negara,” jelas beliau.



